SYED Zaid (kiri), menyerahkan buku Malaysia Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 kepada Tun Dr Mahathir. Turut bersama Lim Guan Eng (dua kiri) dan Nor Shamsiah (kanan) selepas melancarkan Strategi Literrasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023.

Strategi kebangsaan itu menetapkan keutamaan dan pelan tindakan bagi menyediakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat yang mencukupi dan memupuk sikap berhemat dalam pengurusan kewangan.

Perdana Menteri berkata, pengetahuan mengenai selok-belok pengurusan kewangan adalah penting sekiranya ingin selamat dari beban hutang.

Beliau berkata, strategi kebangsaan ini juga memainkan peranan penting dalam membangunkan masyarakat yang mampu membuat keputusan kewangan yang bijak supaya bebas daripada tekanan salah laku atau kesilapan urusan kewangan.

“Literasi kewangan penting supaya individu dapat mempertahankan diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.

“Terlebih dahulu, saya ingin ucap terima kasih kepada Bank Negara Malaysia (BNM) kerana menjemput saya untuk melancarkan strategi kebangsaan ini,” katanya pada majlis pelancaran strategi itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Syed Zaid Albar.

Inisiatif ini adalah hasil usaha Jaringan Pendidikan Kewangan (FENetwork) yang diterajui bersama oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Antara ahli FENetwork temasuklah Kementerian Pendidikan Malaysia, BNM, SC, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Dr Mahathir berkata, pihaknya berharap lebih banyak institusi dan agensi lain akan turut terbabit bagi menyampaikan mesej pendidikan kewangan secara lebih meluas ke setiap lapisan masyarakat sehingga tahap literasi kewangan rakyat dapat dipertingkatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 1:23 PM