GOOGLE antara syarikat Amerika Syarikat yang beroperasi di Kuala Lumpur.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi pilihan firma dari Amerika Syarikat (AS) untuk dijadikan sebagai pusat tumpuan pelaburan dan pangkalan perniagaan di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir berkata, ketika ini terdapat banyak syarikat AS menjalankan operasi di negara ini dan ada antaranya sudah bertapak sejak beberapa dekad lalu.

Beliau berkata, malah baru-baru ini terdapat beberapa syarikat AS mula beralih dan melabur di Malaysia untuk dijadikan platform perniagaan mereka.

“Infrastruktur dan ketersambungan, Malaysia adalah setanding dengan negara lain di rantau Asia ini.

“Setiap syarikat mempunyai sebab tersendiri dalam pelaburan kerana ia bukan berkaitan dengan faktor tunggal seperti tarif, sebaliknya adalah bergantung kepada industri yang diceburi,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Bengkel Potensi Industri 4.0 Untuk Perusahaan Malaysia di sini, semalam.

Bengkel sehari itu disertai kira-kira 250 pemilik dan eksekutif dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang berminat untuk mendalami serta memahami mengenai Industri 4.0.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking serta Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Serantau, Majlis Perniagaan AS-ASEAN, Michael W Michalak.

Dalam pada itu, Michalak berkata, ketegangan perang dagang antara AS-China turut menjadi faktor firma dari AS berminat mengukuhkan kehadiran di Malaysia.

Menurutnya, syarikat AS juga dilihat mahu lebih cepat melakukan tindakan dalam berdepan situasi terbabit.

“Peralihan dalam rantaian bekalan sudah lama berlaku, bagaimanapun perang dagang antara dua kuasa besar dunia itu menjadi pemangkin dan mempercepatkan proses pergeseran itu,” katanya.

Ketika ini antara syarikat AS yang beroperasi di Malaysia termasuklah Cisco, Visa, Mastercard, Procter & Gamble dan Google.

Selain itu, AS juga adalah antara pelabur utama di Malaysia dari sektor pengeluaran dan setakat ini terdapat sejumlah 809 projek pengeluaran di negara ini bernilai RM74.01 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 7:07 AM