WARNA Passion Red Pearl terima sambutan memberangsangkan.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Honda Malaysia berjaya merekodkan jualan melebihi 44,200 unit kenderaan yang didaftarkan untuk separuh pertama (1H) 2019 dengan bulan Mei mencatatkan jualan tertinggi melebihi 10,500 unit.

Hasil pencapaian jualan terbabit turut mengekalkan Honda Malaysia dalam kedudukan nombor satu bagi segmen bukan-nasional dan juga nombor dua dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 1H 2019 dengan menyumbang sebanyak 15.3 peratus kepada TIV.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Honda Malaysia berkata, model sedan segmen-B, City, dikatakan sebagai penyumbang terbesar dengan mencatatkan 34 peratus dalam keseluruhan jualan.

“Ini diikuti dengan model crossover HR-V yang dilancarkan pada Januari lalu menyumbang sebanyak 20 peratus dan CR-V pula sebanyak 14 peratus dalam jumlah keseluruhan jualan berkenaan,” katanya.

Honda turut mengesahkan barisan modelnya iaitu Jazz, City, Civic, HR-V, CR-V dan BR-V terus menjadi pendahulu dalam segmen masing-masing.

Selain itu, HR-V yang diperkenalkan dengan warna Passion Red Pearl menerima sambutan yang memberangsangkan.

Justeru, baru-baru ini, warna yang sama turut diperkenalkan untuk model Jazz, City, CR-V dan BR-V.

Honda Malaysia juga memaklumkan kini Passion Red Pearl menjadi warna paling popular yang menjadi pilihan pelanggannya.

Sementara itu, waktu menunggu untuk tempahan bagi semua modelnya pula antara satu hingga dua bulan.

Sempena dengan pengumuman ini, Honda Malaysia turut melancarkan kempen Tech Frontier Rewards untuk memberikan penghargaan untuk pelanggan Honda mengetahui lebih lanjut mengenai Teknologi Termaju Generasi Akan Datang termasuk Honda SENSING, Turbo dan Sport Hybrid i-DCD.

Kempen ini menawarkan Bonus Honda, Bonus Bulanan Honda dan Hadiah Eksklusif bernilai sehingga RM5,000 (tertakluk pada terma & syarat) untuk yang membuat tempahan mana-mana model baharu Honda.

Kempen ini adalah untuk semua model Honda kecuali Civic Type R, berlangsung mulai 1 Julai sehingga 30 September depan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini atau menempah sesi pandu uji mana-mana model baharu Honda, pelanggan boleh berkunjung mana-mana 98 pusat pengedaran bertauliah Honda di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 6:44 AM