PROJEK ECRL di sekitar Bentong, Pahang.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Kontraktor tempatan dijangka mendapat kontrak antara RM8.8 bilion hingga RM11 bilion bagi kerja am menerusi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang keseluruhannya bernilai RM44 bilion.

Firma penyelidikan CGS-CIMB berkata, ini kerana kerja-kerja sivil kebiasaannya membentuk antara 50 peratus hingga 60 peratus daripada jumlah kos projek.

Ia juga menjangkakan tender bagi projek yang akan dilancarkan semula pada akhir bulan ini akan diumumkan pada akhir suku ketiga tahun ini dengan anugerah tender dikeluarkan paling awal pada suku berikutnya.

“Kerja-kerja sivil tidak termasuk bahagian sistem, pengambilan tanah, rolling stock dan elektrifikasi.

“Manakala baki RM13 bilion hingga RM16 bilion kerja sivil akan dilaksanakan oleh kontraktor utama projek, China Communications Construction Co Ltd (CCCC).

“Skop kerja CCCC akan merangkumi sebahagian besar kerja-kerja terowong, termasuk terowong bukit sejauh tujuh kilometer (km) berhampiran Jelebu yang akan menggantikan terowong Genting sepanjang 18 km yang dirancang sebelum ini,” kata firma itu dalam satu nota penyelidikannya.

CGS-CIMB Research berkata, pihaknya sedia maklum bahawa kerja-kerja sivil dibahagikan kepada tiga bahagian yang disemak semula, dua daripadanya memerlukan penyesuaian semula dan kelulusan bagi skim kereta api baharu pada suku pertama 2020.

“Sementara satu bahagian lagi boleh dilaksanakan segera pada separuh kedua 2019,” menurut nota itu.

Pada separuh kedua tahun ini, CGS-CIMB Research menjangkakan kontraktor tempatan memberi tumpuan kepada tender untuk bahagian B (laluan Dungun-Mentakab sejauh 223 km), yang dianggarkan bernilai antara RM3 bilion dan RM4 bilion berdasarkan 40 peratus bahagian kerja sivil yang tersedia untuk ditender oleh kontraktor tempatan.

“Walaupun pusingan tender mungkin kompetitif, kami percaya peserta industri rel terpilih dengan rekod yang baik akan muncul sebagai pesaing yang berpotensi,” katanya.

ECRL dijadual dilancarkan semula pada 25 Julai selepas perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link (MRL) dan CCCC dimeterai pada April tahun ini.

Projek kerajaan terdahulu itu dibekukan oleh kerajaan Pakatan Harapan akhir tahun lalu selepas mendapati kos pembinaannya terlalu tinggi iaitu kira-kira 81 bilion.

Pembukaan semula pusingan pra-kelayakan yang diadakan pada akhir Mei lalu menarik 1,321 penyerahan membabitkan semua peringkat kontraktor.

“Bertentangan dengan jangkaan sebelum ini bahawa tender ECRL akan dipercepatkan pada separuh kedua 2019, realitinya masa yang lebih diperlukan untuk kelulusan skim rel baharu yang merangkumi perubahan skop dan reka bentuk, berdasarkan SA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 6:40 AM