ORANG ramai melawat gerai pameran hartanah Jabatan Perumahan Negara pada Siri Kedua Pameran Hartanah MyRumah 2019 anjuran NSTP di Melaka. FOTO Rasul Azli Samad
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@nstp.com.my


PAMERAN Hartanah MyRumah 2019 siri kedua di AEON Bandaraya Melaka, berakhir hari ini merekodkan potensi nilai jualan berjumlah RM22juta membabitkan 120 unit pelbagai kediaman.

Ketua Pengiklanan Wilayah & Usahawan Kecil dan Sederhana (SME) NSTP S Linggaraj berkata, jumlah itu direkodkan berdasarkanpermintaan pengunjung dari pelbagai negeri seperti Kuala Lumpur, Johor dan Melaka menerusi pameran berkenaan.

“Disebabkan banyak permintaan daripada pengunjung yang berminat dengan pelbagai unit kediaman yang ditawarkan pemaju, kita berharap pameran yang akan diadakan di Johor nanti boleh diadakan pada skala lebih besar dan pengisian lebih menarik.

“Saya juga berharap, pameran MyRumah pada tahun depan diteruskan di Melaka kerana memang kita menerima pengunjung yang ramai sekurang-kurangnya 10,000 orang dalam tempoh tiga hari ini,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian pemaju juga berminat untuk terus menyertai siri MyRumah akan datang kerana memperoleh banyak faedah menerusi pameran itu antaranya ilmu hartanah dan berpeluang bertemu lebih ramai pembeli rumah yang berpotensi.

Selain itu, beliau berkata, pengunjung juga mendapat pengetahuan melalui Jabatan Perumahan Negara untuk membeli rumah pertama mereka selain acara keluarga.

Pameran Hartanah MyRumah berlangsung selama tiga hari bermula Jumaatmempamerkan lebih 12 projek perumahan di sekitar negeri Melaka dan Johor, merangkumi sejumlah 2,653 unit dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM681 juta.

Pameran berkenaan menyasarkan pembeli rumah dan pelabur hartanah sekitar wilayah selatan dengan menawarkan hartanah pada harga serendah RM180,000 sehingga RM679,000.

MyRumah turut menampilkan tujuh pempamer iaitu pemaju hartanah utama, Bukit Pelali (Astaka Padu Sdn Bhd); Faithview Group Development Sdn Bhd; Handal Group Jabatan Perumahan Negara (JPN); Lembaga Perumahan Melaka (LPM); Scientex Height Sdn Bhd dan SPNB Aspirasi (SPNB), dan turut disertai oleh Takaful Ikhlas Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:42 PM