AB Latif bersama Ahimmat Mydin (kiri) dan Dr KK Chai (kanan) ketika majlis Perjanjian Persefahaman antara ProtectHealth Corporation Sdn Bhd dengan Mydin Mohamed Holdings Bhd dan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd sebagai Rakan Promosi PeKa B40 di Cyberjaya.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


DUA syarikat peruncitan terkemuka negara, Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) dan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK) menjalinkan kerjasama dengan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) bagi mempromosikan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Menerusi kerjasama itu, MYDIN dan KK akan membantu mempromosi PeKa B40 di semua rangkaian dan medium pengiklanan milik mereka di seluruh negara secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Ab Latiff Abu Bakar berkata, pihaknya berbesar hati dengan penyertaan MYDIN dan KK sebagai rakan promosi PeKa B40.

Beliau berkata, MYDIN memiliki 70 cawangan di seluruh negara manakala, KK pula memiliki 300 cawangan.

“Sebagai rakan promosi, MYDIN dan KK akan membantu mempromosi PeKa B40 melalui medium pengiklanan tersedia dimiliki dua syarikat itu malah, mereka juga sedia bekerjasama untuk membantu mempromosi skim itu pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara kedua-dua syarikat itu, di Cyberjaya, hari ini.

Katanya, sejak dilancarkan 15 April lalu, lebih 30,000 penerima sudah menjalankan saringan kesihatan PeKa B40 di seluruh negara dengan Sarawak, Kedah dan Pulau Pinang mencatatkan jumlah tertinggi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MYDIN, Ahimmat Mydin berkata, pihaknya akan memanfaatkan data pelanggan sedia ada menerusi pemegang kad Meriah MYDIN untuk menyebar luas skim saringan kesihatan berkenaan.

“Kami mempunyai 300,000 pemegang kad Meriah dan kami akan sedaya upaya mempromosikan skim kesihatan itu menerusi data yang ada,” katanya.

Selain itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif KK, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, beliau berterima kasih kepada ProtectHealth kerana menawarkan peluang kerjasama ini khususnya dalam mempromosikan program kesedaran kesihatan.

“Kami mempunyai lebih 300 cawangan di mana ia berada di kedudukan strategik termasuk berdekatan Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya.

Dalam pada itu, Ab Latiff berkata, setakat ini, terdapat 1,195 klinik swasta dan Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan dilantik untuk menjalankan saringan kesihatan PeKa B40.

“Kami menyeru lebih ramai organisasi swasta dan korporat untuk tampil membantu mempromosikan PeKa B40 sekali gus mencapai sasaran 800,000 penerima menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 6:56 PM