SATU daripada lima pekerjaan akan digantikan oleh automasi atau AI.
Alzahrin Alias
bisnes@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Peningkatan dalam pelaburan teknologi di seluruh dunia bakal menyaksikan satu daripada lima pekerjaan akan digantikan oleh automasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Laporan KPMG International dan Harvey Nash 2019 menunjukkan apabila organisasi global memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi, ia akan meningkatkan kecekapan dalam perniagaan mereka.

Laporan juga menunjukkan pekerjaan baharu akan muncul untuk mengimbangi dan membolehkan pekerja melaksanakan tugas yang lebih tinggi dan akan menjurus kepada penyusunan semula peranan dalam keseluruhan bidang perniagaan.

Sejak tahun lalu, organisasi telah melihat peningkatan dalam pelaburan teknologi di seluruh dunia, dan kini hanya masa bila robot dan teknologi kognitif lain menjadi keutamaan di tempat kerja.

“Untuk mencapai potensi sepenuhnya teknologi ini, organisasi mesti berfikir melepasi pelaburan teknologi, dengan memberi tumpuan kepada strategi transformasi secara meluas.

“Ia memerlukan pemimpin perniagaan mengambil inisiatif untuk menaikkan tenaga kerja mereka dan pada masa sama memberi tumpuan kepada usaha menarik dan mengekalkan bakat baharu, dan memastikan mereka bersedia pada masa akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, disebabkan tumpuan kini kepada pelaburan teknologi, laporan itu menyebut pemimpin teknologi kini berusaha untuk mencari bakat yang tepat memandangkan tahap kurangnya kemahiran kini mencatat paras tertinggi sejak 2008.

Tinjauan itu mengenal pasti data raya atau analitis (44 peratus), keselamatan siber (39 peratus) dan AI (39 peratus) sebagai tiga bidang kemahiran yang paling sukar, yang boleh menjadi penghalang kepada kepada pertumbuhan organisasi yang mahu mengubah perniagaan mereka.

Sehingga 2019, hanya 16 peratus daripada organisasi telah melaksanakan AI dalam proses automasi beberapa proses mereka, namun bilangannya meningkat setelah teknologi ini lebih mudah diakses.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 7:11 AM