CAWANGAN pertama Tealive di Brunei.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Jenama teh gaya hidup, Tealive kini melebarkan sayap ke Bandar Seri Begawan dengan pembukaan cawangan pertama dan merancang membuka dua lagi cawangan menjelang akhir tahun ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo berkata, cawangan Tealive di Miri, Sarawak mencatatkan prestasi terbaik semenjak ia mula beroperasi pada 2017 dan ia memberi kesan kepada lokasi berhampiran.

“Populariti ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan kesedaran jenama Tealive di kalangan penggemar teh di Brunei. Justeru, pembukaan cawangan di Brunei adalah sesuatu yang kami jangkakan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, Tealive mencatatkan jualan sehingga 1,000 cawan teh pada hari pertama ia beroperasi di Brunei.

“Kami gembira dengan sambutan yang diberikan pelanggan di Brunei dan pada masa sama, kami juga amat berbangga kerana sebagai jenama dari Malaysia, kami berjaya menunaikan keperluan peminat teh di sini,” katanya.

Selain Brunei, Tealive turut berjaya mengembangkan perniagaannya ke China, Vietnam, Australia dan United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 6:50 AM