PENGARAH Urusan Shell Malaysia, Shairan Huzani Husain (tengah) ketika majlis pelancaran koleksi terhad model Ferrari. FOTO: Amirudin Sahib
Suffian A Bakar
bisnes@hmetro.com.my


SHELL Malaysia memperkenalkan kempen koleksi terhad model kereta mainan Ferrari yang berlangsung dari 1 Julai hingga 8 September 2019.

Sepanjang tempoh itu, lapan model Ferrari ditawarkan secara eksklusif di semua stesen Shell di seluruh negara, dikeluarkan khas sempena ulang tahun ke-70 Ferrari.

Pelanggan hanya perlu membeli minyak serendah RM30 di stesen Shell dalam satu resit untuk membeli model ikonik itu pada harga promosi RM15.90 setiap satu. Dua model akan dikeluarkan setiap dua minggu.

Terdapat lapan model berbeza, yang masing-masing mewakili dekad tersendiri dalam sejarah ‘Prancing Horse’ itu. Dekad 1950-an diwakili 250 Testa Rossa, diikuti model ikonik 250 GTO bagi era 1960-an.

Ia akan disusuli 365 GTB/4, juga dikenali sebagai Daytona, yang dikeluarkan lewat 1960-an hingga awal 1970-an.

Penghormatan bagi era 1980-an didatangkan dalam bentuk 288 GTO, diikuti model F50 yang dikeluarkan pada pertengahan 1990-an. Menuju ke milenium, model 430 Scuderia dan 488 Spider ditawarkan, dan koleksi itu diakhiri kereta perlumbaan Formula 1 model SF71H musim lalu.

Dua model pertama dalam koleksi itu, iaitu 365 GTB/4 dan 488 Spider, ditawarkan sejak 1 Julai lalu. Dua model berikutnya ialah 250 Testa Rossa dan 430 Scuderia, yang mana ia boleh dibeli mulai 14 Julai, disusuli model 250 GTO dan 288 GTO, mulai 28 Julai.

Sebagai penutup, model F50 dan kereta perlumbaan Formula 1 SF71H akan mula dijual mulai 11 Ogos. Melengkapi koleksi itu ialah model trak hauler edisi terhad, yang direka untuk memaparkan dua koleksi kereta Ferrari.

Pelanggan yang membeli pek empat liter Shell Helix Ultra boleh mendapatkannya secara percuma, namun ia juga boleh dibeli pada harga RM99.90 seunit.

Bagi memperingati pelancaran koleksi itu, pameran bergerak Galeri ShellVroom akan berlangsung di pusat beli-belah utama di seluruh negara selama 10 minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 7:33 PM