MOHD Redzuan (dua dari kiri) bersama Syed Hussien (dua dari kanan) di Bangunan SME. FOTO: Mohd Khairul Helmy
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


DASAR Keusahawanan Nasional (DKN2030) yang akan dilancarkan pada 11 Julai ini bakal memberi tumpuan menyeluruh kepada sektor keusahawanan negara khususnya berkaitan pembabitan golongan B40.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, DKN2030 turut menggariskan hala tuju bagi menggalakkan pembangunan serta memacu pertumbuhan sektor keusahawan nasional selari dengan peranan usahawan sebagai pemacu ekonomi negara.

Beliau berkata, usaha yang dilaksanakan menerusi dasar itu juga bakal membawa dan menjulang Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan dan berdaya maju.

“Sebelum ini, tidak ada dasar seumpama ini diperkenalkan bagi membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi dan sumbangan usahawan kepada negara.

“Bagi mewujudkan DKN2030, pihak kementerian banyak mendapat maklum balas dari pelbagai pihak berkepentingan dan dalam tempoh 10 bulan dapat membangunkan sebuah dasar yang menyeluruh mengenai keusahawanan.

“Kabinet juga sudah meluluskan perkara ini dan sudah tiba masa ia dilancarkan supaya ia dapat mula menjana pulangan kepada ekonomi Malaysia,” katanya pada majlis perasmian Program Perkongsian Pelaburan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SIP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said.

Mohd Redzuan berkata, ketika ini Malaysia mempunyai kira-kira 700,000 usahawan yang terdiri daripada golongan B40.

“Kami mahu menyediakan lebih banyak ruang kepada golongan ini dan ia akan menjadi panduan kepada mereka untuk berkembang lebih pesat lagi.

“DKN2030 bukan hanya kepada Bumiputera malah ia adalah untuk semua dengan konsep kesamarataan kemakmuran untuk membantu usahawan dari golongan B40 atau mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 5:42 PM