DS 7 Crossback Serba Baharu lebih menawan. FOTO/NADIM BOKHARI
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


NAZA Euro Motors Sdn Bhd, pengedar eksklusif kenderaan jenama DS dari Perancis menyasarkan jualan sebanyak 100 unit tahun ini untuk pasaran tempatan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Nik Hamdan Nik Hassan berkata, melalui pengenalan model kenderaan utiliti sukan (SUV) DS 7 Crossback serba baharu mereka yakin dengan sasaran yang ditetapkan.

“Sejak DS diperkenalkan pada 2013 sebanyak 800 unit kenderaan sudah dijual di negara ini dan melalui pengenalan SUV terbaharu yang popular di kebanyakan negara itu, ia bakal melonjak angka jualan yang disasarkan,” katanya pada majlis pelancaran di Petaling Jaya, hari ini.

Menurutnya, untuk meluaskan pasaran, pelaburan RM3 juta diperuntukkan dalam penyediaan ruang pameran dan khidmat selepas jualan terbaik kepada pemilik dengan penmbukaan DS Store di Petaling Jaya.

DS 7 Crossback dijana enjin 1.6 liter THP petrol dengan kuasa kuda 165hp pada 6,000 rpm dan tork 240Nm daripada 1,400 rpm dengan transmisi enam kelajuan untuk prestasi dan bahan api efisien.

SUV premium dalam segmen-C itu juga dilengkapi dengan roda aloi 19 inci Hitam Onyx 235/50 untuk keselesaan dan kestabilan pada pelbagai permukaan jalan raya.

Model pemasangan tempatan (CKD) ini juga menerima penarafan lima bintang untuk Program Pemeriksaan Kenderaan Baru Eropah (EuroNCAP) dengan ciri keselamatan terbaik ditawarkan.

Untuk pasaran Malaysia, DS 7 Crossback Serba Baharu dijual pada harga RM199,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun waranti atau 120,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 10:51 PM