GAMBAR hiasan.
Dr Yeah Kim Leng

KEADAAN ekonomi semasa yang mencabar selain perubahan teknologi yang dilihat berlaku terlalu pantas menyebabkan beberapa entiti perniagaan perlu mengambil pendekatan berbeza untuk terus beroperasi dan memberi khidmat kepada pelanggannya.

Sama ada bersedia atau tidak untuk menguasai teknologi baru, operasi perniagaan harus diteruskan seperti biasa malah, lebih banyak usaha perlu diletakkan bagi memastikan syarikat kekal berdaya saing.

Jika dilihat dari aspek ini, entiti perniagaan khususnya yang menerima impak besar akibat perubahan teknologi dan digital perlu mengambil dua langkah lebih ke depan berbanding perniagaan lain yang bersifat konvensional.

Namun, bagaimana untuk kekal dalam industri?

Antara cara yang boleh dipertimbangkan adalah melalui penggabungan.

Inisiatif ini menyaksikan dua syarikat bersetuju untuk menggabungkan operasi kerana mereka mempunyai sumber dan keupayaan yang boleh mewujudkan kelebihan daya saing yang kukuh.

Penggabungan dua atau lebih syarikat, secara amnya dengan menawarkan pemegang sekuriti satu syarikat dalam syarikat yang mengambilalih dalam pertukaran bagi penyerahan balik saham mereka.

Secara ringkas, penggabungan menjadikan dua syarikat sederhana bersatu menjadi satu konglomerat. Lebih besar, kukuh dan utuh.

Ia berbeza dengan pengambilalihan yang mana ia membabitkan transaksi di mana satu firma membeli firma lain dengan niat untuk menjadi lebih berkesan menggunakan kecekapan teras dengan membuat firma yang diperoleh sebagai anak syarikat dalam portfolio perniagaannya.

Dalam keadaan semasa, contoh terbaik yang boleh dilihat adalah cadangan penggabungan antara Axiata Group Berhad dan Telenor ASA (Telenor).

Penggabungan itu dilihat seperti memberi harapan kepada pemegang saham dan negara yang mana beberapa inisiatif dirancang seperti pusat inovasi serantau, kemahiran dan pemindahan teknologi serta pelaksanaan 5G bakal mewujudkan manfaat sosial dan ekonomi yang lebih besar.

Entiti yang digabungkan juga akan memudahkan proses transformasi digital negara dan paling penting ia adalah seiring dengan perkembangan teknologi pesat serta landskap industri telekomunikasi yang sentiasa berubah-ubah dan kompetitif.

Penggabungan dengan gergasi telekomunikasi asing juga akan membolehkan juara nasional dapat bersaing dengan lebih efektif bersama pesaing serantau dari negara lain.

Selagi penggabungan itu membawa kepada penjanaan peluang pekerjaan, meningkatkan nilai pemegang saham dan paling kritikal sekali adalah tidak membabitkan sebarang kerugian dalam bentuk manfaat kepada pengguna dari segi harga dan kualiti yang lebih baik, ia harus dialu-alukan.

Tidak perlu mengaitkan penggabungan terbabit dengan isu ‘menjual negara’ memandangkan penggabungan itu memberi manfaat yang baik kepada negara.

Ia bukan saja menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan, malah rakyat tempatan yang bekerja dengan syarikat ini akan mendapat limpahan teknologi.

Dalam hal penggabungan ini, pegangan saham sebanyak 10 peratus bagi RM100 dalam sesebuah syarikat adalah lebih baik daripada 100 peratus pegangan saham dalam syarikat yang hanya bernilai RM1.

Pegangan saham mereka dalam entiti yang digabungkan juga akan dipersetujui. Bergantung kepada syaratnya, pemegangan saham akan bergantung kepada prestasi syarikat, sumbangan relatif dan keperluan pendanaan masa depan yang mungkin menyaksikan langganan berlainan kepada modal baru yang dikeluarkan seterusnya mengubah corak pemilikan saham pada masa hadapan.

Walaupun timbul desas-desus kebimbangan akan berlaku kekurangan peserta industri yang menyebabkan kurangnya persaingan harga dan menjurus kepada harga yang lebih tinggi kepada pengguna, ia mungkin tidak berlaku.

Kesungguhan dari segi persaingan juga tidak mungkin akan berkurang dengan adanya kehadiran pemain utama lain dalam sektor ini sama ada dari penyedia telekomunikasi sedia ada atau yang berskala kecil.

Sekiranya entiti yang digabungkan itu dapat mengurangkan harga dan meningkatkan skop serta kualiti dalam penawaran perkhidmatannya bersandarkan kepada skala ekonomi, pengurusan kos lebih cekap dan pengeluaran teknologi baru menjadi lebih baik seperti 5G, pengguna jugalah akhirnya yang akan peroleh manfaat.

Penulis adalah Profesor Ekonomi Sunway University Business School

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 7:30 AM