SULTAN Sharafuddin(tiga, kanan) berkenan menerima replika kunci kereta jenis Yaris yang disampaikan Hamad (tiga, kiri) pada majlis meraikan 50 tahun pengeluaran kenderaan Toyota di Malaysia di Kilang Pemasangan Assembly Services Sdn Bhd Bukit Raja, hari ini.Foto BERNAMA
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), pengimport, pemasang dan pengedar kenderaan jenama Toyota di negara ini memperuntukkan pelaburan sebanyak RM2 bilion bagi pembinaan kilang pengeluaran baharu di Klang, Selangor.

Pengerusinya, Tan Sri Datuk Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pembangunan yang bermula sejak 2016 di Kawasan Perindustrian Bukit Raja itu memulakan operasinya pada awal tahun ini dengan kapasiti pengeluaran 50,000 unit setahun.

“Kilang pemasangan ini dilengkapi teknologi pembuatan termaju dengan automasi robot bertahap tinggi, rekaan yang inovatif serta tahap penggunaan tenaga yang efisien,” katanya pada Majlis Meraikan 50 Tahun Pengeluaran Kenderaan Toyota di Klang, hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan meraikan Sambutan 50 tahun Pengeluaran Toyota di Malaysia.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa; Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah China dan Asia, Toyota Motor Corporation, Tatsuro Ueda dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Selangor Youth Community (SAY) Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pasangan Diraja itu turut dibawa meninjau operasi pembuatan kereta Toyota di kilang pengeluaran terbaharu itu.

Kilang itu berkeluasan 670,000 meter persegi dengan ciri mesra alam termasuk penggunaan tenaga baharu.

Usahasama UMW Corporation bersama Toyota Motor Corporation (TMC) sejak 1968 itu dimulakan dengan kilang pemasangan di Shah Alam melalui pengeluaran model Toyota Corolla KE10 serta pengeluaran sekitar 38,000 unit setahun dicatatkan ketika ini.

Melalui kilang baharu ini, ia kini menyumbang kepada peningkatan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta penambahan kepada pembekal dan vendor di Malaysia untuk lebih kandungan komponen tempatan selaras dengan polisi kerajaan.

Ia kini menghasilkan dua model kereta penumpang iaitu Toyota Vios dan Toyota Yaris selain mampu mengeluarkan model kereta kenderaan cekap tenaga (EEV).

Satu lagi kilang pembuatan milik Toyota yang beroperasi di Shah Alam sejak 1968 kini menghasilkan kenderaan komersial iaitu Toyota Hilux, Toyota Fortuner, Toyota Innova dan Toyota Hiace.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 8:00 PM