TAN SRI LEONG HOY KUM
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) akan terus meninjau bank tanah utama di sekitar Lembah Klang dan memberi tumpuan kepada pelancaran projek rumah mampu milik di lokasi strategik tahun ini.

Syarikat itu ketika ini mempunyai baki bank tanah sebanyak 849 hektar yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) dan jualan belum dibilkan berjumlah RM25.1 bilion.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pihaknya ketika ini sedang giat menumpukan usaha untuk meningkatkan bank tanah perdana di kawasan Lembah Klang khususnya bagi pembangunan hartanah mampu milik.

Beliau berkata, dengan langkah berkenaan, pembeli rumah juga dapat menantikan lebih banyak pelancaran projek baharu daripada pihak Mah Sing pada masa akan datang.

“Pembelian baharu kami di Kuala Lumpur adalah di Happy Garden yang terletak di Mukim Petaling dan ia dinamakan sebagai M Oscar yang mana ia dicadangkan untuk projek rumah dua bilik seluas 700 kaki persegi.

“Rumah berkenaan dijangka berharga daripada RM428,000. Saya begitu teruja dengan projek baharu ini kerana kali ini konsepnya begitu berbeza sekali dan ia mampu membawa keseronokan kepada kawasan Happy Garden,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, pihaknya juga kekal positif projek hartanah akan mendapat daya tarikan dalam kalangan pembeli kerana kira-kira 81 peratus daripada projek hartanahnya dipenuhi untuk segmen mampu dimiliki di bawah RM700,000.

Menurutnya, hartanah sebagai satu kelas aset mempamerkan daya tahan kepada peningkatan modal dalam jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 9:14 AM