Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Konsortium PNSB Construction Sdn Bhd dan MGB Bhd (PCSB-MGB) bakal membangunkan kira-kira 1,800 unit rumah mampu milik melalui projek pembangunan Idaman Cahaya di tanah seluas 6.69 hektar yang terletak di Encorp Cahaya Alam, Selangor dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM450 juta.

Projek yang dilaksanakan dengan kerjasama Must Ehsan Development Sdn Bhd (Must Ehsan Development) iaitu anak syarikat milik penuh Encorp Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu bertujuan menyokong komitmen kerajaan negeri Selangor untuk menyediakan rumah mampu milik melalui inisiatif Rumah Idaman.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri komited untuk membina 30,000 rumah mampu milik di Selangor menjelang 2025 melalui inisiatif perumahan mampu milik terbaharu Selangor itu yang disasarkan bagi membantu kumpulan B40 di Selangor untuk memiliki rumah mampu milik berkualiti.

“Melalui Rumah Idaman ini, rakyat Selangor akan memiliki lebih banyak pilihan perumahan mampu milik berkualiti, sekali gus berupaya membantu mereka dalam meningkatkan taraf hidup,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian hak pembangunan antara Konsortium PCSB-MGB dan Must Ehsan Development di sini, semalam.

Konsortium PCSB dan MGB adalah entiti yang terdiri daripada PNSB Construction Sdn Bhd dan MGB Berhad adalah anak syarikat LBS Bina Group Berhad (LBS).

Idaman Cahaya adalah projek yang membabitkan pembinaan kediaman jenis apartmen tiga bilik dan dua bilik air dengan keluasan 1,001 kaki persegi dan ditawarkan pada harga RM250,000.

Beliau berkata, Idaman Cahaya juga bakal menawarkan kelengkapan perabot bagi setiap unit kediamannya berupa set televisyen, kabinet televisyen, kabinet dapur, peti sejuk, penyaman udara, almari dan pemanas air.

“Projek ini akan mendapat manfaat daripada perbandaran berhampiran yang terletak di pusat koridor pembangunan Shah Alam dan kawasan kejiranannya yang pesat berkembang.

“Selain itu, ia juga memiliki akses perhubungan yang sangat baik seperti Lebih Raya Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MBG Berhad dan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya yakin akan membawa Rumah Idaman yang berkualiti sekali gus meningkatkan lagi penanda aras untuk perumahan mampu milik di Selangor melalui sinergi pengalaman syarikat dalam pembangunan kediaman dan komersial yang terbaik.

“Sehingga kini, LBS berjaya menyiapkan lebih 35,000 hartanah termasuk rumah mampu milik, bangunan, bandar bersepadu dan unit komersial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 7:14 AM