DR Jomo Kwame
Nurhayati Abllah
bisnes@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Malaysia perlu menumpukan kepada pelaburan domestik memandangkan pertumbuhan ekonomi dunia kini semakin suram dan menjadi sesuatu yang di luar kawalan kerajaan, kata Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Jomo Kwame Sundaram.

“Malaysia perlu mula fikirkan mengenai pelaburan domestik. Ini kerana di kebanyakan negara, lebih 90 peratus daripada pelaburan adalah pelaburan domestik dan bukannya semata-mata memberi tumpuan kepada pelaburan asing untuk menjaga ekonomi kita.

“Kelembapan ekonomi sudah sedia berlaku serta mempengaruhi harga komoditi Malaysia dan situasi itu tidak akan berubah dengan serta-merta,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Ekonomi Malaysia, semalam.

Jomo berkata, Malaysia perlu bersedia menghadapi kesan pertumbuhan ekonomi global yang semakin mencabar di tengah-tengah situasi yang sukar dijangkakan.

“Situasi sekarang (ekonomi) sangat teruk. Banyak masalah yang berlaku adalah di luar kawalan kerajaan (Malaysia) dan kita perlu bersedia menghadapinya,” katanya.

Beliau berkata, perang ekonomi bukan hanya disebabkan oleh perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China semata-mata.

“Malaysia juga tidak boleh terkecuali kerana kita juga sebahagian daripada ekonomi berkenaan. Kita juga boleh terperangkap dalam situasi itu kerana China adalah antara rakan perdagangan utama Malaysia.

“Selain terdapat banyak pelaburan yang dijalankan antara Malaysia dengan China, kita juga terikat dengan usaha sama lain seperti Proton dan Geely,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, adalah penting bagi Malaysia pada masa ini untuk menumpukan kepada usaha untuk menangani impak daripada kesan ekonomi itu.

“Banyak cara yang boleh kita usahakan. Lupakan kepercayaan politik pada masa ini dan kita perlu bersatu demi kepentingan negara,” katanya.

Ditanya sama ada ekonomi Malaysia memerlukan rangsangan baharu, beliau berkata, negara pada masa ini perlu memperbaiki dan mempertingkatkan aspek akauntabiliti dan ketelusan.

“Kita sudah melaksanakan rangsangan ekonomi sejak 20 tahun lalu, dengan melakukan pelbagai pinjaman. Banyak perkara merepek mengenainya,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai agenda pembaharuan negara, Jomo berkata, ia bukan satu proses yang mudah dan mengambil tempoh masa yang lama.

“Kita tidak boleh memikirkan semua dalam satu masa. Apa yang penting memberi keutamaan kepada masalah yang dihadapi, contohnya mengenai 1 Malaysia Development Bhd (1MDB) dan hutang negara.

“Oleh itu, jika ditanya sama ada kerajaan sudah melakukan yang terbaik, saya tidak boleh kata mengenainya...sudah pasti saya mahukan yang lebih lagi.

“Namun, kita perlu terima ia bukan satu perkara yang mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 7:44 AM