LOKE (tengah) pada pelancaran kempen, semalam.

Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), pengendali tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit optimis mampu untuk mencapai sasaran faktor muatan penumpang 9.2 juta pada tahun ini melalui kerjasama strategik dengan rakan kongsi termasuk korporat, syarikat penerbangan, penyedia e-dagang, dompet digital dan e-hailing sepanjang 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noormah Mohd Noor berkata, keyakinan syarikat juga adalah berdasarkan kepada jumlah penumpang dicatatkan pada enam bulan pertama tahun ini yang dilihat menunjukkan perkembangan positif.

“Sasaran ini mewakili peningkatan sebanyak lima peratus berbanding 8.8 juta penumpang yang dicatatkan pada tahun lalu dan kami jangka ia boleh dicapai namun bergantung kepada sambutan pelancong terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya kepada Bisnes Metro selepas pelancaran Kempen Go Cashless on Public Transport di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan iaitu Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi Eksekutif ERL, Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Beliau berkata, pihaknya turut berada dalam landasan baik untuk mencapai faktor muatan penumpang seramai 100 juta penumpang menjelang akhir bulan ini.

“Jumlah penumpang ini dikira sejak kami memulakan operasi pada 2002 dan sehingga kini kami berjaya mencatatkan jumlah penumpang seramai 95 juta,” katanya.

Sementara itu, ERL menganjurkan kempen Go Cashless on Public Transport bertujuan untuk mempromosikan kesedaran dan penggunaan kad tanpa hubung dan dompet digital dalam kalangan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan kereta api.

Melalui kempen terbabit, ERL menjalinkan kerjasama dengan tujuh rakan kongsi seperti Boost, GrabPay, Mastercard, Maybank, Touch ‘n Go, Union Pay dan Visa bagi membolehkan penumpang menggunakan semua kemudahan digital itu melakukan transaksi tanpa tunai perkhidmatan ERL.

Noormah berkata, ERL mencatatkan penggunaan transaksi tanpa tunai sebanyak 47 peratus pada masa ini iaitu peningkatan lima peratus berbanding 2018 sejak memulakan kerjasama dengan rakan kongsi pertama pada 2010.

Menurutnya, syarikat menyasarkan peningkatan sebanyak 10 peratus bagi penggunaan tanpa tunai dalam kalangan pelanggannya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Untuk mencapai sasaran ini, kami mengalu-alukan lebih ramai rakan strategik dan melaksanakan lebih banyak usaha pendidikan dan promosi dalam memastikan transaksi tanpa tunai ini akan mendapat tempat dalam kalangan pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 7:36 AM