CAWANGAN GJC di Bukit Bintang.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) menerusi Gloria Jean’s Coffees (GJC) memperuntukkan pelaburan RM5 juta bagi membuka sembilan cawangan baharunya, tahun ini.

Pengarah Bahagian Perniagaan Francais PNS, Fauzi Awang berkata, bagi tempoh lima tahun PNS menyasarkan untuk membuka 25 cawangan baharu menjelang 2023.

Katanya, selain Malaysia, jenama GJC juga berkembang di Brunei, Indonesia dan Myanmar.

“Jumlah keseluruhan cawangan di Malaysia adalah 45 dan terbaharu, kami membuka rangkaian di Sogo Central i-City, MSU Shah Alam dan Wangsa Walk.

“Kami merancang membuka GJC di pusat beli-belah dan lot kedai berikutan sebelum ini banyak memberi tumpuan di sekitar kawasan pejabat dan hospital.

“Kami juga mencari lokasi strategik di Lembah Klang serta bandar besar seperti di Johor, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak,” katanya di sini, baru-baru ini.

GJC di Malaysia ditubuhkan melalui pembelian Hak Francais Induk oleh Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise) iaitu syarikat milik penuh PNS.

Fauzi berkata, pihaknya menawarkan dua konsep cawangan iaitu konsep kedai dan kios.

“Untuk kedai, anggaran pelaburan tidak melebihi RM600,000 manakala untuk kiosk tidak melebihi RM400,000. Kami juga membantu francaisi GJC dengan memberi suntikan modal pembiayaan.

“Sejak 2010, PNS menyediakan pembiayaan RM11.6 juta bagi 40 francaisi GJC serta memberi latihan (teori dan praktikal) merangkumi pengurusan operasi, teknik pemasaran dan jualan,” katanya.

Beliau berkata, bagi memberi nilai tambah dan menawarkan kepelbagaian, pihaknya turut memperkenalkan menu makanan di beberapa cawangan GJC terpilih.

Menurutnya, setiap suku tahun, menu baharu akan diperkenalkan pada francaisi.

“Selain minuman, kami mengunjurkan segmen makanan akan menyumbang antara 30 hingga 40 peratus kepada jualan GJC pada masa akan datang,” katanya.

GJC adalah jenama kopi gourmet terkemuka dunia dan mempunyai lebih 1,000 rangkaian di 40 negara yang menyediakan minuman kopi kepada lebih lapan juta pelanggan setiap hari.

GJC menawarkan pelbagai jenis minuman espresso, panas dan sejuk, tujuh pilihan teh, lapan minuman coklat termasuk minuman buah-buahan segar untuk memenuhi permintaan peminat kopi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 7:50 AM