ZAINAL. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) InvestKL Datuk Zainal Amanshah akan meletakkan jawatan apabila kontraknya tamat pada 10 Julai depan selepas berkhidmat selama lapan tahun sejak 2011.

Zainal bakal meninggalkan agensi promosi pelaburan itu untuk meneroka lebih banyak peluang dalam sektor swasta dan sebagai perintis di InvestKL.

Malah, sepanjang tempoh beliau berkhidmat, InvestKL berjaya menarik 80 syarikat multinasional (MNC) setakat 31 Mei lalu membawakan jumlah pelaburan diluluskan berjumlah RM12 bilion ke Greater Kuala Lumpur.

Zainal berkata, Malaysia dalam kedudukan yang baik dengan persekitaran perniagaan yang mesra serta pusat tumpuan untuk menarik lebih banyak pelaburan.

“Meskipun wujud ketidaktentuan ekonomi serta kemelut antara Amerika Syarikat dan China, perancangan pelaburan InvestKL kekal kukuh,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi InvestKL, Datuk Seri Michael Yam turut mengumumkan pelantikan Muhammad Azmi Zulkifli sebagai pemangku CEO InvestKL berkuat kuasa 1 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 11:15 AM