KETUA Pengembangan dan Pemasaran Perniagaan Utama UOB Kay Hian, Jean Soo menunjukkan aplikasi Bursa Anywhere.
Mahanum Abdul Aziz
bisnes@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd melancarkan secara rasmi aplikasi mudah alih baharu dikenali Bursa Anywhere bagi membolehkan pelabur individu mengakses perkhidmatan depositori pusat (CDS) di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Ia perkhidmatan depositori mudah alih yang pertama seumpamanya dilancarkan di ASEAN dan kedua di Asia selepas Taiwan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, Bursa Anywhere menjadi platform elektronik bagi pelabur runcit menguruskan akaun CDS mereka.

Beliau berkata, aplikasi mudah alih itu membolehkan pelabur merasai pengalaman berterusan apabila mengakses maklumat atau melaksanakan pengurusan akaun CDS mereka.

Katanya, pihaknya berharap dengan pelancaran aplikasi perkhidmatan depositori mudah alih itu meningkatkan lagi penyertaan pelabur runcit dalam pasaran saham tempatan.

“Kami menyasarkan menyampaikan pengalaman terbaik kepada dua juta pemegang akaun CDS dengan menyediakan akses kepada maklumat, pergerakan dan trend diperlukan yang membuka peluang baharu kepada mereka,” katanya pada pelancaran Bursa Anywhere di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Bursa Malaysia, Datin Azalina Adham, Pengerusi Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia, Datuk Ahmad Azman Abdul Manaf dan Pengerusi Jawatankuasa Broker Saham Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA), Lok Eng Hong.

Bursa Anywhere kini boleh dimuat turun daripada Google Play dan Apple App Store dan boleh digunakan pendeposit individu sebaik mendaftar perkhidmatan itu.

Dengan mendaftar di Bursa Anywhere, pelabur Bursa Malaysia boleh melihat baki pegangan saham dalam semua akaun langsung CDS mereka, mengakses dan muat turun penyata akaun bagi 12 bulan, mengemas kini butiran pendeposit khusus dan menerima pemberitahuan berkaitan pegangan saham mereka seperti pengumuman kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 10:32 AM