SALAH satu projek perumahan UEM Sunrise.
Nabil Basaruddin
bisnes@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd, pemaju hartanah terkemuka merancang untuk melancarkan kira-kira lapan hingga projek kediaman baharu pada tahun ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Kenny Wong Koon Keng berkata, untuk tahun ini pihaknya akan membangunkan projek pada skala yang lebih kecil berbanding pelancaran projek yang dilaksanakan pihaknya sebelum ini.

Di samping itu, beliau berkata, antara lokasi yang akan dijadikan tumpuan untuk pelancaran projek baharu berkenaan adalah di Serene Heights di Bangi dan Kepong di Selangor serta Gerbang Nusajaya di Iskandar Puteri dengan harga jualan dari RM500,000.

“Walaupun pasaran kekal mencabar pada tahun ini, namun kami kekal yakin dan akan terus memperkukuh kedudukan dengan pelbagai langkah strategik.

“Untuk tahun ini, kami akan melancarkan beberapa projek kediaman baharu membabitkan lapan hingga sembilan projek kediaman serta satu atau dua projek komersial.

“Tahun kewangan 2018 adalah satu tahun yang berjaya, dan kami mahu ia diteruskan untuk tahun berikutnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-11 syarikat itu di sini.

Hadir sama, Pengerusi UEM Sunrise, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dan Ketua Pegawai Kewangannya, Mohamed Rastam Shahrom.

UEM Sunrise mencatat perolehan sebanyak RM419.25 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019 berbanding RM287.74 juta pada suku sebelumnya.

Setakat ini syarikat itu telah melancarkan projek dengan GDV sebanyak RM160 juta.

UEM Sunrise juga adalah pemaju induk bagi Iskandar Puteri dan di wilayah tengah, ia mempunyai projek di Mont Kiara, Bangi, Cyberjaya dan Seremban.

Sementara itu, Kenny berkata, pihaknya juga berharap kerajaan dapat melanjutkan tempoh penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang akan tamat pada akhir bulan depan.

“Sebagai antara pemaju utama yang mengambil bahagian dalam HOC, kempen itu ternyata membantu kami menjual unit kediaman yang tidak terjual sebelum ini,” katanya.

Mengulas mengenai pendanaan ramai hartanah, Mohamed Rastam berkata, ia adalah langkah yang baik namun pihaknya perlu melaksanakan kajian terperinci terlebih dahulu bagi menilai kesannya.

“Kami terbuka kepada peluang yang ada, malah kami juga ada menyertai FundMyHome sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 8:26 AM