DESMOND (kanan) bersama Chou (tengah) pada majlis pelancaran pesta buku. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Popular Book Co (M) Sdn Bhd (Popular Malaysia) kini kembali dengan edisi ke-14 festival jualan buku, BookFest @Malaysia 2019 bermula 1 hingga 9 Jun ini yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pengerusi Popular Holdings Limited, Desmond Lee berkata, penganjuran pesta buku itu bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-95 rangkaian kedai buku itu.

Beliau berkata, penganjuran edisi kali ini mendapat penyertaan memberangsangkan dari China, Hong Kong, Taiwan, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belgium, Singapura dan Malaysia.

“Kami menjangkakan BookFest @Malaysia 2019 akan menerima kunjungan lebih hebat berbanding tahun sebelumnya memandangkan ia disertai peserta dari dalam dan luar negara.

“Lebih menarik lagi terdapat 790 tapak pameran merangkumi syarikat penerbitan buku, alat tulis dan gajet yang menawarkan pelbagai produk pada harga menarik kepada semua pengunjung,” katanya di majlis pelancaran pesta buku itu.

Hadir sama, Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Anne Hung dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Popular, Chou Cheng Ngok.

Pesta buku yang mula dianjurkan sejak 2006 itu bukan sahaja menampilkan pameran serta jualan buku, malah ia turut mengadakan sesi perbincangan, ceramah, bengkel dan slot perkongsian bersama personaliti tempatan dan luar negara.

Sepanjang ia berlangsung, pengunjung yang hadir berpeluang untuk mendapatkan buku dari genre yang pelbagai kerana ia menawarkan buku khusus bagi pembaca Malaysia iaitu bagi segmen Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris.

Sementara itu, Desmond berkata, berikutan sambutan luar biasa bagi segmen digital, pihaknya memperuntukkan Pavilion Digital yang menampilkan produk teknologi maklumat dan gajet pada pesta tahun ini.

“Sejak pertama kali dianjurkan BookFest @Malaysia 2019 hanya mempunyai keluasan 100,000 kaki persegi kemudian ia ditingkatkan kepada 133,000 kaki persegi dengan tambahan Pavilion Gaya Hidup dan pada 2018 menjadi kepada 160,000 kaki persegi dengan permintaan untuk segmen digital,” katanya.

Pada majlis yang sama turut diadakan pelancaran aplikasi mudah alihnya, POPULAR MY yang mempunyai pelbagai fungsi untuk dimanfaatkan oleh ahlinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 7:52 AM