AXIATA, Telenor dijangka bergabung pada suku ketiga 2020. FOTO Supian Ahmad
Nabil Basaruddin
bisnes@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Axiata Group Berhad (Axiata) optimis cadangan penggabungan dengan operator mudah alih dari Norway, Telenor ASA (Telenor) mampu menjadi kenyataan dan dapat direalisasikan pada suku ketiga 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, ketika ini pihaknya sudah memulakan kajian usaha wajar dan akan menilai aspek keuntungan dan kerugian, pemilikan serta liabiliti.

Beliau berkata, usaha rundingan penggabungan itu akan mengambil tempoh antara tiga hingga enam bulan membabitkan dokumen perundangan dan seterusnya enam hingga sembilan bulan lagi untuk mendapatkan kelulusan di semua negara yang mempunyai operasinya.

Katanya, antara pemangkin yang menjadikan penggabungan ini berpotensi adalah dengan mendapatkan persetujuan kerajaan dan institusi awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

“Kami akan menghantar cadangan penggabungan ini kepada pihak kawal selia dalam dua atau tiga bulan lagi bagi memudahkan urusan yang berkaitan.

“Malah, kami juga mendapat ‘restu’ daripada Khazanah, kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mana mereka memahami mengapa Axiata mengambil langkah untuk penggabungan ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-27 Axiata di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid.


JAMALUDIN Ibrahim. FOTO Amirudin Sahib

Jamaludin berkata, penggabungan itu tidak akan mewujudkan sebarang bentuk kuasa monopoli malah ia sebenarnya dapat menawarkan harga Internet yang lebih murah dan mampu milik kepada pengguna.

“Secara logiknya, penggabungan ini mampu mewujudkan peluang yang lebih besar dari pelbagai aspek dan berkemungkinan kami mampu menawarkan Internet pada harga rendah.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh memberi sebarang jaminan mengenai hal ini kerana rundingan masih berjalan dan belum dimuktamadkan,” katanya.

Sementara itu, katanya, penggabungan di bawah entiti global yang digabungkan (MergedCo) itu juga adalah berbeza kerana pihaknya akan mengasingkan dari segi pemilikan dan bagaimana syarikat itu akan diuruskan.

“Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif juga akan dilantik dari kalangan penggiat industri atau profesional dari Malaysia begitu juga dengan saiz lembaga pengarah yang majoritinya adalah rakyat tempatan,” katanya.

MergedCo akan mengawal operasi anak syarikat di sembilan negara dengan gabungan penduduk lebih satu juta dan 300 juta pelanggan.

Secara keseluruhannya, ia bertujuan mengawal kedudukan utamanya di enam negara, kedudukan kedua di dua negara dan kedudukan ketiga dalam satu pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 8:03 AM