TNB sasar tenaga boleh baharu kembang 1,700 MW pada 2025
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menetapkan sasaran untuk mengembangkan kapasiti tenaga boleh baharunya dalam dan luar negara kepada 1,700 MW menjelang 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan berkata, usaha itu adalah selari dengan sasaran kerajaan yang menetapkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu dipertingkatkan daripada dua peratus ketika ini kepada 20 peratus pada 2025.

Beliau berkata, dengan Pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malysia (MESI) 2.0 yang dijangka diumumkan pada tahun ini, TNB sudah memulakan inisiatif strategiknya.

“Ia adalah untuk memastikan model-model perniagaan yang berteraskan sumber penjanaan masa hadapan, grid pintar dan mengutamakan pelanggan, akan mencapai kejayaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dalam pada itu, TNB turut mengumumkan pendapatan lebih tinggi bagi suku pertama 2019 disebabkan jualan elektrik yang lebih kukuh namun keuntungan kumpulan selepas cukai untuk tempoh berkenaan adalah lebih rendah, kesan pelarasan kawal selia yang lain dan rosot nilai.

Amir Hamzah berkata, pendapatan Kumpulan meningkat 7.9 peratus kepada RM13.24 bilion bagi tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (Ebitda) Kumpulan turut mencatat peningkatan iaitu sebanyak 17.6 peratus kepada RM4.96 bilion, dengan Margin Ebitda sebanyak 37.5 peratus berikutan kesan Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16.

“Bagaimanapun, keuntungan kumpulan selepas cukai (PAT) merosot 28.1 peratus kepada RM1.52 bilion bagi suku ini disebabkan kesan Pelarasan Kawal Selia yang Lain yang perlu dikembalikan semula,” katanya.

Tambahnya, jualan elektrik meningkat 5.2 peratus kepada 28,471.1 GWh pada suku pertama 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan peningkatan penggunaan elektrik, kesan cuaca panas yang melanda negara ini.

Selain itu, dalam usaha mengembangkan kapasiti perniagaan, TNB sedang berusaha untuk meningkatkan portfolio tenaga boleh baharu sebanyak 70 MW menerusi penyertaan dalam skim Solar Berskala Besar (LSS) ketiga.

Amir Hamzah berkata, TNB kini mempunyai aset LSS 50MW dan 30MW masing-masing di Sepang, Selangor dan Bukit Selambau, Kedah.

“LSS di Sepang beroperasi secara komersial sejak November 2018 manakala Bukit Selambau kini di peringkat awal pembinaan dan dijangka beroperasi secara komersial pada hujung tahun 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 8:46 AM