CAWANGAN Tealive di UK.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tealive, jenama minuman teh gaya hidup di bawah kendalian Loob Holding Sdn Bhd (Loob Holding) meluaskan kehadiran operasinya ke Eropah dengan pembukaan cawangan pertama di United Kingdom (UK), baru-baru ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo berkata, perkara berkenaan adalah pencapaian yang ditunggu sejak sekian lama ketika Tealive mula diwujudkan di Malaysia, dua tahun lalu.

“Ini mungkin kelihatan seperti kejayaan kecil kepada orang lain namun bagi kami ia adalah lonjakan besar sebagai jenama Malaysia yang menembusi pasaran Eropah.

“Apabila kami menghasilkan Tealive, wujudnya idea mengenai misi untuk membawa budaya teh moden di Malaysia dan seterusnya ke seluruh dunia.

“Dengan pengalaman yang diperoleh pada pembukaan kedai Tealive di Australia, kami menjadikannya sebagai panduan untuk memasuki pasaran UK,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pembukaan cawangan pertama Tealive di bandar Manchester itu disambut meriah dengan pelanggan yang mengambil kesempatan untuk merasai dan menikmati keenakan rasa pelbagai jenis teh yang diadun dengan teliti oleh barisan kakitangan Tealive.

Antara perisa yang mendapat sambutan hangat pelanggan di sini termasuk Teh Susu Pearl perisa Karamel, Matcha Latte Kacang Merah dan rangkaian Teh Ais Buah Segar yang dihidang bersama pulpa buah-buahan.

Mengulas lanjut, Loo berkata, syarikatnya juga amat bertuah kerana mempunyai rakan kongsi tempatan terbaik di semua pasaran antarabangsa yang mempunyai operasi jenama berkenaan.

“Bagi mengukuhkan operasi dan perniagaan di UK ini, kami menjalin kerjasama dengan Legend Ventures Ltd,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Legend Ventures, Samuel Chin berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk membuka cawangan Tealive yang kedua di London pada tahun ini.

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan untuk membuka lima cawangan Tealive dalam tahun pertama operasi,” katanya.

Ketika ini Tealive mempunyai 250 cawangan di Malaysia dengan tiga juta pelanggan setiap bulan.

Selain itu, jenama teh gaya hidup itu juga mempunyai misi untuk menjadi jenama global di empat benua dan 15 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 7:56 AM