GAMBAR hiasan.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: KUB Malaysia Berhad merancang untuk melupuskan beberapa aset untuk menambah baik aliran tunainya berikutan mengalami kerugian bagi tahun kewangan 2018.

Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin berkata, tahun lalu sangat mencabar bagi KUB Malaysia terutama dengan penurunan harga minyak sawit.

Katanya, KUB Malaysia mengalami kerugian besar dalam sektor perladangan, manakala di Sarawak disebabkan cuaca tidak menentu dan banjir, ia meningkatkan kos operasi mereka.

“Pendapatan turun dan kos meningkat. Oleh itu, lembaga pengarah memutuskan untuk menjual kilang pemprosesan sawit di Mukah, Sarawak tahun ini.

“Kami berbincang dengan pembeli dan membuat pengumuman mengenainya dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.


Abdul Rahim. FOTO Saifullizan Tamadi

“Tindakan ini akan membantu meningkatkan aliran tunai kami terutama pinjaman dibuat untuk kilang dan pada masa sama mengurangkan kerugian yang berpunca daripada kilang pemprosesan itu,” katanya kepada media di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KUB Malaysia di sini, semalam.

Abdul Rahim berkata, pihaknya akan menyemak semula pelan pengembangan dan penambahbaikan operasi perniagaan KUB Malaysia dan menyasarkan keuntungan bagi tahun kewangan 2019.

Beliau berkata, tahun ini pihaknya akan memberi tumpuan kepada segmen gas dan tenaga serta memperuntukkan RM40 juta bagi perbelanjaan modal kumpulan.

Menurutnya, RM11 juta dibelanjakan untuk membeli kilang pembotolan di Beranang dan RM15 juta untuk memperkembangkan segmen tenaga.

“Kami turut menerima tempahan kerja RM80 juta bagi segmen telekomunikasi KUB (tiga tahun kontrak) dan jumlah bidaan RM63 juta untuk segmen tenaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 7:36 AM