LIM (kiri) dan Ketua Perancangan Acara Sin Chew Daily, Chen Lin Loong pada sidang media Bookfest@Malaysia 2019, semalam. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Popular Book Co (M) Sdn Bhd, rangkaian kedai buku terkemuka negara menjangkakan penganjuran acara BookFest@Malaysia 2019 mampu menarik lebih ramai pengunjung berbanding 680,000 dicatatkan pada edisi tahun lalu.

Pengarah Eksekutifnya, Lim Lee Ngoh berkata, syarikat optimis mampu mencapai angka itu berikutan acara terbabit diadakan bagi tempoh masa lama iaitu sembilan hari ketika musim cuti persekolahan berlangsung.

“Kami menjangkakan faktor ini menjadi daya penarik untuk orang ramai berkunjung ke acara ini ditambah kami turut menawarkan pelbagai promosi dan aktiviti menarik sepanjang sembilan hari,” katanya pada sidang media BookFest@Malaysia 2019 di sini, semalam.

Edisi kali ini menyaksikan ekspo buku tiga bahasa terbesar di Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri berikutan ia turut diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-95 Kumpulan Popular.

BookFest@Malaysia 2019 yang tampil dengan tema Assured Enriching itu menawarkan bahan bacaan terbaik dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina, alat tulis, hadiah, cakera padat dan cakera video digital, gajet serta produk teknologi maklumat (IT).

Beliau berkata, acara terbabit bakal disertai 200 hingga 300 pempamer dari sembilan negara seperti Malaysia, Singapura, Taiwan, China, Hong Kong, Belgium, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat membabitkan 790 ruang pameran dengan keluasan kawasan pameran keseluruhan 160,000 kaki persegi.

Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti sesi bertemu penulis, bengkel, forum, pelancaran buku dan pameran.

“Acara ini juga bakal menawarkan ganjaran seperti BookFest Rewards yang menyaksikan pemberian baucar dengan pembelian bernilai RM100, RM150 dan RM300, pembelian dengan pembelian (PWP) yang membolehkan pengunjung mendapatkan hadiah menarik dengan pembelian lebih RM60.

“Selain itu, pengunjung berpeluang mendapatkan kad keahlian Popular Edisi Terhad sempena ulang tahun ke-95 Kumpulan Popular dan memperbaharui keahlian istimewa Popular untuk tiga tahun, di samping mereka dapat menyaksikan pelancaran aplikasi mudah alih Popular My pada acara ini nanti,” katanya.

BookFest@Malaysia 2019 berlangsung selama sembilan hari bermula 1 hingga 9 Jun depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 7:29 AM