PROJEK SP Setia di Singapura dikenali sebagai Daintree Residence.
Nasuha Badrul Huzaini
bisnes@hmetro.com.my


SHAH ALAM: SP Setia Bhd (SP Setia) menyasarkan jualan sebanyak RM5.65 bilion tahun ini, meningkat 10 peratus daripada tahun lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen berkata, daripada jumlah disasarkan, 89 peratus adalah dari jualan projek tempatan manakala 11 peratus lagi bagi projek antarabangsa.

Katanya, sasaran jualan itu bakal dipacu oleh kombinasi projek pembangunan baharu yang bakal dilancarkan serta jualan produk hartanah yang sudah siap dibina.

“Bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu, kami hanya melancarkan projek pembangunan bernilai RM339 juta dan bagi suku kedua dan seterusnya, kami merancang untuk melancarkan projek bernilai RM6.47 bilion dengan lokasi utama di wilayah tengah diikuti oleh wilayah selatan dan wilayah utara.

“Kami juga mempunyai projek yang bakal dilancarkan di Kota Kinabalu dan bagi segmen hartanah antarabangsa pula, kami akan melancarkan projek baharu di Vietnam.

“Dengan adanya pelancaran baharu secara lebih agresif pada suku kedua dan seterusnya, kami akan berusaha untuk mencapai sasaran jualan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-44 di sini.

Hadir sama ialah Pengerusi SP Setia, Tan Sri Syed Zainol Anwar Jamalullail, Naib Presiden dan Ketua Operasi SP Setia, Datuk Wong Tuck Wai.

Sementara itu, mengulas mengenai isu lambakan hartanah tidak terjual di pasaran, Khor berkata, jumlah unit hartanah yang dibangunkan SP Setia adalah kurang daripada 30 peratus daripada jualan tahunannya.

“Justeru, saya boleh katakan bahawa perkara berkenaan masih boleh diatasi pihak kami. Kami juga sudah merangka beberapa strategi untuk membolehkan unit hartanah berkenaan terjual.

“Malah kami juga berjaya mengurangkan jumlah hartanah tidak terjual yang bernilai RM1.6 bilion kepada RM1.4 bilion dalam tempoh kurang daripada enam bulan.

“Kebanyakan unit yang tidak terjual itu datangnya daripada lima projek dengan tiga daripadanya di Johor, satu di Pulau Pinang dan satu di Lembah Klang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 10:39 AM