LIM Hock San. FOTO Eizairi Shamsudin
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: LBS Bina mencadangkan lebih banyak tanah kerajaan dikhususkan untuk membina perumahan mampu milik.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San berkata, kekurangan tanah di Lembah Klang adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan harga kediaman.

“Pada masa ini, hanya sebahagian kecil daripada projek perumahan mampu milik dibina atas tanah milik kerajaan.

“Jika lebih banyak tanah boleh diperuntukkan bagi pembangunan perumahan mampu milik, ini akan meningkatkan bekalan sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, dalam merealisasikan agenda perumahan negara, ada beberapa langkah perlu diambil termasuk pemberian insentif untuk meningkatkan penggunaan IBS dalam kalangan pemaju dan pembina.

“Cara ini akan mempercepatkan penyerahan rumah berkualiti dan menurunkan harga rumah.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mempercepat penubuhan unit petugas khas yang dicadangkan untuk melancarkan proses kelulusan projek rumah mampu milik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 9:57 AM