MAXIS, MDEC umum kerjasama galak pembangunan ekosistem penyelesaian Internet kebendaan rangsang ekonomi. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Maxis Berhad (Maxis) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan kerjasama untuk menggalakkan pembangunan ekosistem penyelesaian Internet kebendaan (IoT) dalam kalangan syarikat bagi merangsang ekonomi digital Malaysia.

Kerjasama terbabit dilaksanakan berikutan kejayaan pelancaran perkhidmatan Narrowband-Internet of Things (NB-IoT) komersial oleh Maxis pada bulan lalu di mana ia adalah yang pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus berkata, kerjasama terbabit adalah tepat pada masanya dan ia adalah langkah signifikan dalam mengukuhkan agenda IoT mereka berikutan NB-IoT kini menjadi pilihan yang sangat berdaya maju untuk perniagaan dalam pelbagai industri.

“Kami yakin bahawa perkongsian ini akan mempercepat cita-cita kami terhadap ekosistem rakan kongsi, pemaju dan pelanggan yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Melalui kerjasama itu, MDEC akan membimbing dan menyediakan nasihat kepada pemain ekosistem, vendor dan perusahaan mengenai inisiatif kerajaan yang selari dengan Pelan Hala Tuju Strategik IoT Kebangsaan dan Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0, serta memberi bantuan dalam inisiatif seperti Kecerdasan Buatan, Analisis Data Besar dan Transformasi Digital.

Sementara itu, Maxis akan mengetuai inisiatif NB-IoT dan bekerjasama dengan MDEC serta rakan kongsi ekosistem melalui perjumpaan suku tahunan di bengkel gabungan dan sesi perkongsian pengetahuan untuk menangani keperluan industri tertentu dan program IoT yang relevan.

Beliau berkata, Maxis akan menyediakan pemacu utama seperti garis panduan ujian, kemudahan makmal, penyelesaian dan amalan terbaik penyediaan penempatan serta penasihat pakar sebagai sebahagian daripada inisiatif terbabit.

“Inisiatif yang pertama adalah Maxis IoT Challenge yang dilancarkan awal minggu ini di mana Maxis menjemput orang awam untuk menghasilkan penyelesaian IoT bagi menyelesaikan masalah perniagaan yang wujud, berkaitan dengan Bandar Pintar, Pengilangan Pintar dan Pertanian Pintar.

“Cabaran ini kini dibuka untuk penyertaan dan menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM30,000, peluang pekerjaan di Maxis dan pembiayaan dana sehingga RM100,000 serta sokongan mentor untuk jualan berpotensi.

“Beberapa pameran jelajah mengenai cabaran ini akan dilaksanakan di Pulau Pinang, Kuching dan Kuala Lumpur sepanjang bulan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 8:21 AM