GAMBAR hiasan.
Bisnes HM
bisnes@hmetro.com.my


SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyedari dan mengambil perhatian terhadap permohonan semakan kehakiman ke atas suruhanjaya itu, yang difailkan oleh AirAsia Bhd dan syarikat penerbangan jarak jauh yang menjadi sekutunya, AirAsia X Bhd.

MAVCOM dalam satu kenyataan semalam berkata, bagaimanapun ia masih belum menerima apa-apa dokumentasi mengenai permohonan semakan kehakiman itu dan tidak dapat memberikan apa-apa maklum balas ketika ini.

AirAsia dan AirAsia X memfailkan permohonan semakan kehakiman, mencabar Mavcom kerana suruhanjaya itu enggan membuat apa-apa keputusan mengenai pertikaian antara Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) dengan syarikat penerbangan berkenaan.

AirAsia dalam satu kenyataan berkata, pertikaian itu adalah mengenai caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan tahap perkhidmatan di terminal Klia2 yang dilaporkan agak buruk.

Syarikat penerbangan itu menegaskan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, Mavcom mempunyai kewajipan berkanun untuk membuat keputusan mengenai pertikaian itu selepas pengantaraan antara pihak-pihak terbabit gagal atau dianggap telah gagal.

Terdahulu, AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd memfailkan permohonan semakan kehakiman mencabar Mavcom kerana menolak untuk membuat keputusan mengenai pertikaian antara MASSB dan syarikat penerbangan itu.

“Keengganan untuk membuat keputusan mengenai pertikaian itu adalah bertentangan dengan Seksyen 74 hingga 78 Akta tersebut,” katanya.

AirAsia dan AirAsia X turut memohon perintah mandamus untuk memaksa Mavcom membuat keputusan mengenai pertikaian itu antara mereka dan MASSB mengikut kewajipan berkanunnya.

Syarikat penerbangan itu berkata, MASSB telah memfailkan beberapa tindakan mahkamah, termasuk dakwaan fitnah terhadap eksekutif tertinggi kumpulan AirAsia kerana membuat kenyataan media terhadapnya, dan menuntut syarikat penerbangan itu membayar jumlah PSC yang tidak dikutip kepada mereka.

Kedua-dua syarikat penerbangan tambang rendah itu mempertikaikan tuntutan pengendali lapangan terbang berkenaan dan telah memohon untuk membatalkan tindakan itu.

Syarikat itu turut membuat tuntutan sebanyak RM480 juta terhadap MASSB atas kerosakan yang ditanggung susulan daripada perkhidmatan yang lemah di terminal Klia2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 2:08 PM