SULAIMAN (tengah) pada sidang media selepas AmBank BizCONFRENCE Beyond Financing Series yang bertemakan Embracing Internet of Things, semalam. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: AmBank (M) Berhad kini sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bagi menyediakan bantuan teknikal dan monetari kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah AmBank BizRACE.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, perbincangan yang masih berada di peringkat awal itu turut membabitkan beberapa syarikat dalam bidang teknologi, infrastruktur dan syarikat telekomunikasi (telco).

Menurutnya, Miti boleh mengenal pasti PKS yang mampu untuk meningkatkan potensi dengan melakukan eksport dan import manakala, AmBank dapat membantu mereka dengan teknologi dan hubungan seperti Internet Kebendaan (IoT) yang ada.

“Kami harap perbincangan ini dapat dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini,” katanya pada sidang media selepas AmBank BizCONFRENCE Beyond Financing Series yang bertemakan Embracing Internet of Things, semalam.

Acara itu bertujuan untuk menyediakan PKS dengan pemahaman mengenai topik penting berkaitan IoT dan langkah untuk membawa keperluan mereka serta bagaimana penyertaaan industri boleh menjana pertumbuhan PKS tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 7:10 AM