METER pintar TNB.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


TENAGA Nasional Berhad (TNB), menjangkakan pelaksanaan meter pintar di seluruh Lembah Klang akan bermula tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan berkata, TNB dalam fasa akhir bagi membuat persiapan terbabit.

Katanya, projek perintis meter pintar di Melaka, mendapat sambutan positif pengguna.

“Meter pintar memberi pengguna pengiraan penggunaan elektrik yang lebih tepat dan telus.

“Kami memulakan penggunaan meter pintar di Melaka dan kami melihat potensi dalam penggunaan meter pintar ini lebih luas.

“Kami juga mendengar mengenai isu yang timbul selepas pemasangan meter pintar, namun TNB akan menyiasat semua aduan terbabit,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan TNB di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, TNB tidak mempunyai isu untuk mengatasi permasalahan yang berlaku selepas memasang meter pintar dan akan menubuhkan pasukan khas untuk mengatasi isu ini.

Beliau berkata, penggunaan meter pintar dilaksanakan berikutan ia lebih efisien berbanding meter sebelum ini sehingga dapat merekod setiap kilowatt penggunaan elektrik.

Katanya, pemilik kediaman yang berdepan kenaikan bil elektrik luar biasa selepas penukaran meter pintar boleh mengemukakan aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 5:05 PM