PROJEK terbaru SP Setia di Johor iaitu Setia Eco Gardens​ yang menawarkan kediaman terbaru dikenali sebagai Vallaris. FOTO/NSTP
Syarifah Dayana
bisnes@hmetro.com.my


SP Setia Bhd menyifatkan sikap ‘tunggu dan lihat’ terus diamalkan pembeli yang menyaksikan mereka masih menanti petunjuk positif untuk pasaran hartanah pulih kembali.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Khor Chap Jen berkata, Kumpulan memiliki banyak rancangan yang membabitkan pelbagai produk dengan kebanyakan bertumpu kepada hartanah kediaman.

“Kami akan melakukan lebih banyak pelancaran sebaik saja pasaran mencerminkan pemulihan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Untuk sebahagian baki tahun kewangan, Kumpulan itu merancang pelancaran yang bernilai RM6.47 bilion secara keseluruhan terutamanya di Lembah Klang (RM4.65 bilion) dan Johor (RM1.12 bilion).

Pelancaran utama yang dirancang di Johor adalah Setia Tropika, Bukit Indah Johor, Setia Eco Gardens dan Taman Industri Jaya.

Beliau berkata, terdapat permintaan kukuh bagi kediaman atas tanah daripada bakal pembeli yang ingin menetap di kawasan perbandaran terbaik meskipun dalam keadaan pasaran hartanah yang masih terencat.

“Pelancaran Clarino, rumah teres dua tingkat berharga daripada RM649,000 dalam kawasan Alam Impian yang sudah matang pada Mac lalu, menerima sambutan menggalakkan selepas ia meraih kadar penggambilan 98 peratus dalam tempoh hanya satu bulan,” katanya.

Sementara itu, Kumpulan mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM52.83 juta dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2019 berbanding RM61.49 juta pada tempoh sama tahun lalu dengan hasil meningkat kepada RM864.91 juta daripada RM655.50 juta sebelum ini.

Ia juga memperoleh RM718 juta jualan pada suku kali ini dengan projek tempatan menyumbang RM678 juta atau 94 peratus daripada jumlah jualan manakala, projek antarabangsa menyumbang jualan RM40 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 10:47 AM
Skip this ad x