Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Kamal Khalid pada mesyuarat agung tahunan (AGM) Media Prima yang berlangsung hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


MEDIA Prima Berhad (Media Prima), kumpulan media bersepadu terbesar Malaysia, mencatatkan prestasi yang lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 (FY18) membuktikan kejayaan kepada transformasi kepelbagaian perolehan kumpulan.

Kumpulan media itu turut merekodkan perolehan bersih RM1.2 bilion yang mewakili penurunan marginal dalam tahun kewangan 2018 yang mengambil kira persekitaran ekonomi yang mencabar.

Perolehan digital kumpulan meningkat kepada RM87.9 juta dalam FY18 daripada RM41.5 juta pada tahun sebelumnya dan segmen beli-belah di rumah, CJ WOW SHOP, menjana jualan keseluruhan RM213.1 juta meningkat 65 peratus daripada RM129.5 juta pada 2017.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Kamal Khalid berkata, prestasi itu adalah petunjuk baik bahawa syarikat berada di landasan tepat melalui strategi transformasi yang dilaksanakan.

Beliau berkata, penurunan dalam perolehan tradisional dimanfaatkan menerusi perolehan yang lebih tinggi daripada segmen perniagaan digital dan dagangan.

Menurutnya, CJ WOW SHOP berjaya mencatat kemajuan yang membanggakan dan kekal yakin segmen perniagaan berkenaan akan mencapai kadar pulang modal pada tahun ini.

“Kami menyasarkan peningkatan dalam sumbangan perolehan digital kepada Kumpulan sebanyak 20 peratus dengan mengambil peluang terhadap capaian pelanggan digital yang besar di seluruh platform.

“Malah, kami yakin mampu mencapai sasaran ini berdasarkan peningkatan sumbangan digital kepada Kumpulan bagi tahun kewangan 2018,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Kumpulan media itu juga mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM59.0 juta bagi tahun kewangan sama, kerugian berbalik sebanyak RM669.7 juta pada tahun sebelumnya.

Selain itu, bagi tahun yang dikaji, pertumbuhan perolehan baru berkembang daripada 14 kepada 25 peratus yang mewakili suku daripada jumlah keseluruhan perolehan Media Prima pada FY18.

Pertumbuhan itu dipacu oleh usaha niaga digital dan perdagangan Media Prima yang merekodkan jumlah peningkatan keseluruhan perolehan sebanyak 76 peratus kepada RM301.0 juta pada FY18.

Lebih membanggakan, dalam segmen digital, Kumpulan mencapai kejayaan penting apabila menjadi pilihan utama kandungan mudah alih di Malaysia mendahului Google dan Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 4:27 PM