PROJEK MRT ketika dalam pembinaan di Bandar Malaysia North, Jalan Sungai Besi.
hmdigital

KUALA LUMPUR: MMC Corporation Berhad (MMC Corp) yakin kerajaan akan melaksanakan kembali projek infrarakyat iaitu Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) yang ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corp, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pihaknya turut menjangkakan kerajaan akan memuktamadkan keputusan berkaitan perkara itu tahun ini pada harga yang lebih rendah.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan memutuskan untuk melakukannya sekarang, untuk memulakan projek itu kembali mengambil tempoh kira-kira dua tahun kerana ia membabitkan pengambilalihan tanah, rekaan kejuruteraan dan perkara berkaitan yang lain.

“Sebagai contoh, jika kerajaan melaksanakan pada penghujung 2019, ia mengambil masa dua tahun sehingga 2021 bagi proses perancangan, mereka bentuk dan pengambilalihan tanah.

“Jadi, ia adalah garis masa yang tersusun dan pada tahun berikutnya iaitu pada 2022 projek pembinaan MRT3 dapat dijalankan.

“Malah, pada 2022 juga MRT2 juga akan siap dan ini akan memberi peluang kepada kontraktor dan pihak lain yang terbabit dalam projek ini.

“Semakin lama kerajaan menunggu, ia akan menyebabkan bakat dan pakar dalam bidang ini akan beralih ke projek di luar negara dan ini akan menyebabkan kerugian kepada negara,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MMC Corp di sini, semalam.

Che Khalib berkata, pihaknya sebelum ini telah menghantar kertas cadangan mengenai projek MRT3 ini dengan beberapa perubahan bagi menambah baik dengan kos lebih rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 7:46 AM