CAWANGAN 7-Eleven ke-2,323 di Plaza Arkadia.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd, operator rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven Malaysia membuka cawangan terbaharunya yang ke-2,323 di Plaza Arkadia, Desa Park City di sini, yang menampilkan format baharu berkonsep kontemporari.

Ketua Pegawai Eksekutif 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd, Colin Harvey berkata, pembukaan cawangan itu adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi syarikat dan ia adalah sebahagian komitmen untuk meneruskan lagi perluasan cawangan pada masa depan.

Menurutnya, syarikat melihat masih ada banyak ruang dan peluang untuk membuka lebih banyak cawangan dengan purata sehingga 200 cawangan setahun jika dinilai berdasarkan kapasiti, namun enggan mengulas jumlah cawangan yang ingin dibuka pada tahun ini secara lebih lanjut.

“Pada hari ini, kami ingin memaparkan produk terkini dan inovasi perkhidmatan yang akan membezakan kami dengan rangkaian kedai serbaneka lain di Malaysia dengan penekanan kepada makanan segar berkualiti,” katanya kepada media selepas pelancaran cawangan 7-Eleven Malaysia yang ke-2,323 di sini, semalam.

Beliau berkata, generasi terkini kedai 7-Eleven menggalakkan pelanggan untuk melihat jenama itu sebagai kedai gaya hidup yang membolehkan mereka untuk menikmati barisan produk yang ditawarkan di kedai secara lebih santai sama seperti pengalaman di kafe kesukaan masing-masing.

Melalui cawangan di Plaza Arkadia, 7-Eleven Malaysia menawarkan kepelbagaian perkhidmatan makanan yang membabitkan makanan dan minuman di bawah jenama 7-Eleven seperti sandwic, snek ‘Cocoks’, donut segar, swiss roll, kek dan pencuci mulut, Aiskleem serta minuman popular Slurpee.

Menurutnya, 7-Eleven Malaysia juga meningkatkan perkhidmatan di cawangannya yang membabitkan pilihan penyedia utiliti seperti perkhidmatan pembayaran bil 24 jam, pilihan pembayaran luar talian bagi e-dagang terkemuka dan pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kami juga kini menawarkan pembayaran melalui instrumen dompet elektronik (e-dompet) seperti Razer Pay dan Alipay dan bakal memperkenalkan perkhidmatan untuk menyimpan serta menyerahkan bungkusan yang dibeli melalui platform dalam talian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 7:23 AM