MOHD Redzuan Yusof (tiga dari kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Bank Rakyat diwakili Abdul Razak (tiga dari kiri) dan Petronas diwakili oleh Samsudin (dua dari kanan).
hmdigital

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat memperuntukkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta khas untuk vendor Petronas menerusi Program Pembiayaan Vendor.

Ketua Pegawai Perbankan Perniagaannya, Abdul Razak Abu Bakar berkata pembiayaan itu terbuka kepada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang memperoleh kontrak daripada Petronas dan menepati penilaian kredit pihaknya.

Menurutnya, pembiayaan itu juga hanya untuk vendor yang terbabit dalam sektor peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan.

“Jika program itu mendapat sambutan yang baik daripada vendor terbabit, kami akan meningkatkan jumlah peruntukan mengikut keperluan semasa.

“Selain itu, kami juga merancang untuk meluaskan program berkenaan ke sektor lain seperti telekomunikasi dan tenaga,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petronas, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden Perolehan Kumpulan Petronas iaitu Samsudin Miskon dan Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologinya, Adnan Zainal Abidin.

Majlis itu turut disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso.

Melalui inisiatif terbabit, Bank Rakyat menyediakan kemudahan pembiayaan sehingga RM10 juta kepada vendor yang layak.

Mengulas mengenai inisiatif itu, Mohd Redzuan berkata ia bertujuan memberi manfaat kepada PKS dalam sektor OGSE tempatan bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan dan kecairan penggiat sektor OGSE.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 7:43 AM