LAU (empat dari kanan) bersama kakitangan pelbagai pangkat dan jawatan pada majlis pelancaran fasa kedua kempen MH, semalam. FOTO Nik Hariff Hassan
Nurhayati Abllah
bisnes@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines melancarkan fasa kedua kempen Malaysia Hospitality (MH) dengan menawarkan produk baharu yang direka khusus untuk meningkatkan pengalaman pelanggan sepanjang perjalanan.

Ketua Pegawai Kumpulan Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Malaysia Airlines, Lau Yin May berkata, kempen MH pada tahun ini akan menawarkan banyak manfaat kepada keseluruhan ekosistem perjalanan.

“Tahun lalu, kami melancarkan kempen itu dengan memfokuskan kepada perkhidmatan dan penawaran produk.

“Justeru, fasa seterusnya kali ini ialah memperkenalkan aplikasi baharu iaitu MHassistant merangkumi tawaran hebat menerusi rangkaian rakan kongsi kami seperti pilihan restoran, pengalaman membeli-belah, kebudayaan dan pengalaman unik di seluruh negara.

“Aplikasi terbaharu itu akan dilancarkan sepenuhnya suku kedua tahun ini dan ia boleh dilayari menerusi peranti Android serta iOS,” katanya pada majlis memperkenalkan produk baharu MH dan cawangan penjualan tiket Malaysia Airlines di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Perolehan Malaysia Airlines, Ignatius Ong.

Fokus utama kempen MH ialah melayan pelanggan seperti kita melayan tetamu yang berkunjung ke rumah.

Mengulas lanjut, Lau berkata, Malaysia Airlines merancang memperkenalkan produk pakej percutian terbaharu, MHholiday bagi membolehkan pelanggan menguruskan percutian dengan baik.

“Menerusi pakej itu, pelanggan boleh menjadikan percutian istimewa dengan menguruskan sendiri penerbangan, penginapan, aktiviti pelancongan dan pemilihan lokasi menarik serta terbaik di Malaysia.

“Produk berkenaan akan diperkenalkan menerusi laman web dan dijangka dilancarkan dalam tempoh satu atau dua bulan ini,” katanya.

Menurutnya, Malaysia Airlines mempunyai senarai rakan kerjasama bagi menjalankan aplikasi itu dan ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Kerjasama itu membabitkan segmen makanan dan minuman, penginapan serta tempat pelancongan di seluruh Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 7:04 AM