CHONG (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Shah. FOTO Nadim Bokhari
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


PETALING JAYA: CARiNG Pharmacy, (CARiNG), rangkaian farmasi terkemuka bakal menampilkan lebih banyak produk dan jenama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di beberapa cawangan terpilihnya melalui program dikenali Let’s Go Retail in CARiNG.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama syarikat perundingan dan pengedaran perniagaan, Trisuccess Global Sdn Bhd (Trisuccess Global) itu akan menyaksikan PKS disediakan platform untuk mengembangkan lagi jangkauan pemasaran termasuk peluang untuk menceburi pasaran antarabangsa.

Pengarah Urusan CARiNG, Chong Yeow Siang berkata, pada masa ini kebanyakan produk yang dipasarkan pihaknya terdiri daripada produk antarabangsa dan situasi itu mewujudkan lebih banyak peluang bagi PKS menghasilkan produk berkualiti tinggi, sekali gus bersaing dengan produk antarabangsa.

“Untuk fasa pertama, kami sudah memilih empat jenama tempatan iaitu Serai Mas, Ana, Habada dan Mary Jardin le fleur membabitkan 20 unit simpanan stok (SKU) untuk dipasarkan secara runcit di cawangan CARiNG,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian antara CARiNG dan Trisuccess Global.

Program Let’s Go Retail diperkenalkan untuk menyediakan platform dan akses untuk PKS menyenaraikan dan memadankan rangkaian pasaran dengan produk dan profil pengguna yang tepat untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif TriSuccess Global, Shah Mohd berkata, jenama penting dalam industri yang amat khusus dengan syarikat farmasi perlu memiliki kekuatan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:48 AM