VACH (empat dari kiri) pada perasmian kedai Sneaker Street di Central I-City, Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Peminat kasut sneakers kini boleh mendapatkan pelbagai koleksi jenama terkemuka di Sneaker Street yang membuka cawangan pertamanya negara ini di Central I-City di sini.

Konsep perniagaan di bawah peruncit barangan sukan terkenal, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan) itu menawarkan jenama seperti Vans, Asics, Tiger, New Balance, Adidas, Puma dan Nike.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan, Vach Pillutla berkata, pihaknya berhasrat memberi peluang kepada golongan berpendapatan sederhana untuk membeli kasut jenama terkini dengan harga berpatutan.

Menurutnya, ia bertepatan dengan slogan Sneaker Street iaitu Your Affordable Sneaker Destination.

“Syarikat Al-Ikhsan cukup sinonim dengan menjual barangan sukan pada harga berpatutan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Justeru, dengan kedai konsep terbaru ini, kami harap dapat menyediakan kasut dan pelbagai aksesori seperti topi dan beg yang boleh dibeli pelanggan setia kami,” katanya pada majlis pelancaran Sneaker Street di sini.

Pada majlis itu, 19 pemenang pertandingan Score Big with MyDebit diumumkan.

Pemenang menerima pelbagai hadiah lumayan termasuk pakej percutian ke Disneyland, Amerika Syarikat, televisyen, Playstation 4 Pro, kasut bola Adidas dan Iphone XS.

Pertandingan berlangsung pada 15 November 2018 hingga 28 Februari 2019 di mana pelanggan di Al-Ikhsan menggunakan kad MyDebit sebagai transaksi bayaran barangan sukan.

Vach berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka 15 cawangan Sneaker Streets di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, pihaknya bercadang mengembangkan konsep perniagaan itu di Asia Tenggara.

“Al-Ikhsan berbeza dengan Sneaker Street kerana ia memilih jenama kasut tertentu yang diyakini terbaik selain aksesori lain seperti beg dan topi.

“Kami bercadang menembusi pasaran di Malaysia dan Asia Tenggara kerana masih belum ada premis perniagaan menjual kasut jenama terkemuka pada harga berpatutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 6:50 AM