ARANOLS (kiri) pada Mesyuarat Agung Tahunan Nestle, semalam. FOTO Amirudin Sahib
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Nestle Malaysia Berhad memperuntukkan RM220 juta bagi perbelanjaan modalnya (capex) yang juga pelaburan tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, rancangan memperuntukkan capex lebih tinggi membolehkan Nestle memanfaatkan peluang baharu bagi barisan produk kumpulan.

“Kami yakin bahawa strategi kukuh kami akan membolehkan kumpulan terus menjana pertumbuhan mantap, menguntungkan dan mampan pada tahun ini.

“Kami komited untuk terus melabur di Malaysia dan sebagai bukti kami memperuntukkan capex RM220 juta bagi tahun ini yang sebahagian besarnya digunakan untuk meluaskan kilang di Chembong, Negeri Sembilan bagi menubuhkan Pusat Kecemerlangan Pengeluaran Milo terbesar di dunia.

“Lebih RM100 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan kilang di Chembong yang mengkhusus kepada pengeluaran produk Milo, KitKat serta aiskrim dan baki capex terbabit kami gunakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kami dan setakat ini Nestle mempunyai tujuh kilang beroperasi di Malaysia,” katanya pada sidang media di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Nestle di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Nestle, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Kewangannya, Craig Connoly.

Nestle berjaya mencatatkan prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu dengan perolehan RM5.5 bilion, peningkatan 4.9 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Untung selepas cukai (PAT) turut meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada RM659 juta.

Aranols berkata, berdasarkan prestasi kukuh kumpulan, lembaga pengarah mencadangkan dividen akhir RM1.40 sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata, inovasi kekal sebagai pemacu pertumbuhan penting kepada Nestle dan pihaknya menjangkakan segmen inovasi akan menyumbang 15 peratus kepada jumlah jualan kumpulan.

“Pada masa ini segmen inovasi menyumbang 10 peratus dan kami percaya jumlah itu meningkat kepada 15 peratus dalam dua hingga empat tahun terutama menerusi pengenalan barisan produk baharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 7:17 AM