DR Hasnita. FOTO Shahril Badri
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mempunyai peranannya yang tersendiri sebagai agensi dengan ekosistem yang lengkap dalam pembangunan sektor keusahawanan negara.

Pengerusinya, Dr Hasnita Hashim berkata, antara elemen yang terbabit dalam ekosistem itu terdiri daripada modal insan ataupun usahawan itu sendiri dan seterusnya adalah perniagaan.

Beliau berkata, elemen lain yang berkaitan adalah kapasiti Mara dalam menyediakan fasiliti sokongan untuk membantu usahawan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Tidak dapat dinafikan, terdapat pelbagai agensi pembangunan keusahawanan di Malaysia dan Mara dilihat sebagai satu-satunya agensi dengan ekosistem lengkap untuk usahawan.

“Melihat kepada ekosistem ini, bagi tujuan membangunkan usahawan, Mara menyediakan pelbagai program latihan bagi memperkasakan usahawan yang berpotensi untuk melebarkan sayap perniagaan ke luar negara,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Hasnita berkata, untuk membantu usahawan, pihaknya turut mewujudkan pelbagai program pemasaran perniagaan termasuk program anjuran Mara atau dengan kerjasama agensi dan pemain industri lain dalam dan luar negara.

“Tidak cukup dengan itu, bagi melengkapkan ekosistem ini, Mara juga menawarkan kemudahan pembiayaan perniagaan bagi membantu usahawan mengembang perniagaan.

“Antaranya termasuklah Skim Pembiayaan PUTRA, Skim Pembiayaan Mudah Jaya, Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres, Program Rantaian Nilai Industri dan Dananita,” katanya.

Selain daripada bantuan pembiayaan itu, katanya, Mara juga menawarkan lot perniagaan serta kawasan industri untuk membantu kumpulan usahawan.

Menurutnya, Mara mempunyai lebih 7,000 ruang niaga di seluruh Malaysia yang memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera dalam pelbagai lapangan perniagaan.

“Malah, ia juga membolehkan mereka menjana pendapatan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Oleh yang demikian, usaha pembangunan keusahawan yang dilaksanakan Mara adalah begitu signifikan kerana ia mempunyai ekosistem pembangunan usahawan yang lengkap dan mudah untuk diakses,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 7:47 AM