LIM (tengah) dan Datuk Cynthia Lim Mooi Pang (tiga dari kanan) bersama artis pada Majlis Pelancaran Video Muzik Seru Hari Lebaran sempena Karnival Jom Blossom di Kita@CyberSouth. FOTO Aizuddin Saad
Suffian A Bakar
bisnes@hmetro.com.my

DENGKIL: LBS Bina Group Bhd (LBS Bina) menyasarkan tempahan memberangsangkan bagi Kita Harmoni, projek pembangunan Fasa 3 di Kita@Cybersouth yang dilancarkan pada 9 April lalu.

Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datuk Joey Lim Hock Guan berkata, keyakinan itu disandarkan kepada sambutan baik yang diterima bagi pelancaran Fasa 1 dan Fasa 2 November lalu.

“Fasa 1 yang terdiri daripada 379 unit rumah teres dua tingkat habis dijual, manakala Fasa 2 yang merangkumi 698 unit rumah bandar lebih 40 peratus dijual.

“Bersandarkan sambutan baik orang ramai ke atas dua pelancaran sebelum ini, saya berkeyakinan tempahan penuh bakal di raih Kita Harmoni tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran album Hari Raya Rocketfuel di sini, baru-baru ini.

Kita Harmoni merangkumi 674 unit rumah teres dua tingkat berukuran 20 kaki persegi x 65 kaki persegi dijual pada harga bermula RM560,000.

Memandangkan projek dibangunkan di tanah rizab Melayu, ia hanya dijual kepada pembeli Melayu.

Dalam usaha mempromosi dan memupuk ikatan siratul rahim menjelang kedatangan Ramadan disusuli sambutan Aidilfitri, LBS Bina menghulurkan sokongan kepada Astro dan Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd (Rocketfuel) dalam pelancaran album Hari Raya Sempurna Seadanya.

Album istimewa Hari Raya 2019 itu menampilkan 10 lagu termasuk lima lagu baharu disampaikan artis terkemuka tanah air seperti Syamel, Ernie Zakri, Usop, Masya Masyitah, Zizan Razak, Hael Husaini, Azhael, Iqbal, Adira dan Hazama Ahmad Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 9:00 AM