DATO’ Sri Syed Zainal Abidin bersama Ir. Ts Azizi A Hadi pada majlis menukar dokumen kerjasama.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) bekerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk menaik taraf lebih 1,000 stesen Petronas seluruh negara untuk infrastruktur rangkaian generasi baharu.

Kerja menaik taraf itu akan dilaksanakan menerusi cabang penyelesaian perniagaan awam dan enterpris TM, iaitu TM ONE.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata, pihaknya teruja untuk melaksanakan lembaran baharu bagi perjalanan digital kumpulan khusus untuk perniagaan runcit.

Beliau berkata, usaha berkenaan adalah penting kepada inisiatif syarikat kerana teknologi baharu dapat memberi kapasiti dan menyokong perjalanan digital ini.

“Malah, kerja menaik taraf ini dapat membantu menyokong PDB untuk memperkenalkan lebih banyak inovasi berasaskan digital kepada pelanggan kami seperti aplikasi mudah alih Setel,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Setel adalah aplikasi mudah alih pembayaran elektronik pertama di Asia Tenggara yang membolehkan pengguna membuat pembelian bahan api dari kenderaan mereka sendiri.

Dengan naik taraf itu, rangkaian di semua stesen Petronas boleh menerima fungsi pembayaran berasaskan digital yang dapat mengubah cara pelanggan berinteraksi di stesen itu.

Selain itu, antara naik taraf lain termasuklah kios layan diri, sistem pembayaran yang dipertingkatkan, servis mudah alih bersepadu dan tawaran peribadi unik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 5:36 PM