PENGURUS Komunikasi Korporat Malaysia Airlines, Adlina Azharuddin menunjukkan pilihan tambang fleksibel baharu yang dilancarkan.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Malaysia Airlines mengumumkan pilihan tambang fleksibel baharunya bagi perjalanan domestik yang membolehkan pelanggan menetapkan perjalanan mereka berdasarkan keperluan masing-masing.

Apa yang menarik, pengenalan pilihan itu menawarkan tambang rendah terutama untuk mereka yang melakukan perjalanan balik hari tanpa bagasi.

Ketua Pegawai Hasil Kumpulannya, Ignatius Ong berkata, industri penerbangan semakin berkembang dan permintaan pelanggan juga mengalami perubahan pantas dengan mereka mahukan lebih fleksibiliti.

“Kami melihat pilihan tambang baharu ini membolehkan pelanggan membuat keputusan mengenai apa yang diingini berbanding hanya membeli apa yang ditawarkan syarikat penerbangan,” katanya pada taklimat media pilihan tambang fleksibel baharu dan bagasi tambahan di sini, semalam.

Pilihan yang hanya ditawarkan untuk perjalanan domestik di Kelas Ekonomi membabitkan struktur tambang baharu terdiri daripada pakej Lite, Basic dan Flex.

Beliau berkata, penumpang bagi perjalanan domestik boleh memilih kombinasi tambang dan perkhidmatan yang disepadukan bermula 8 April lalu yang turut dilengkapi keistimewaan termasuk elaun bagasi dan pilihan lain yang membenarkan penumpang membayar apa yang diperlukan saja.

Menurutnya, syarikat yakin pilihan tambang baharu itu akan memenuhi permintaan pelanggan terutama untuk mereka yang melakukan perjalanan domestik balik hari tanpa daftar masuk bagasi.

“Sebagai contoh, jika penumpang memilih perjalanan sehala dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Shah, Alor Setar, dengan pilihan pakej Lite, kadar yang dikenakan hanya RM89 manakala, pakej Basic dengan 20 kilogram daftar masuk bagasi, harga yang dikenakan adalah RM137 dan Flex (RM235).

“Kami menjangka pengenalan pilihan tambang fleksibel baharu ini membantu kami meningkatkan jumlah faktor muatan penumpang domestik sebanyak 10 peratus kepada 80 peratus tahun ini berbanding 70 peratus pada masa ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 7:30 AM