Ruang pameran Perodua di Ubi, Singapura. FOTO emel
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) secara rasminya melancarkan Perodua Myvi generasi ketiga di Singapura pada minggu lalu yang didatangkan dengan dua varian.

Model Myvi itu ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.3X AT dan 1.5H AT masing-masing pada harga SG$64,800 (RM197,093) dan SG$69,800 (RM212,301) termasuk cukai barang dan perkhidmatan serta sijil kelayakan (COE).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, kemasukan Myvi generasi baru ke Singapura adalah penting bagi jenama pengeluar kereta itu meskipun berdepan dengan pelbagai halangan untuk menembusi pasaran matang itu.

“Pencapaian ini juga menandakan destinasi eksport pertama bagi model ini di bawah jenama Perodua.

“Walaupun Perodua sudah mula mengeksport Myvi generasi ketiga ke Indonesia, namun model itu menggunakan jenama Daihatsu dan dinamakan sebagai Sirion,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis pelancaran yang diadakan pada Sabtu lalu di pusat jualan dan servis Perocom Auto Pte Ltd di Ubi, Singapura dihadiri kira-kira 250 pelanggan.

Perocom Auto adalah pengedar tunggal sah Perodua di Singapura sejak 1997 yang menjual model Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama, Viva, Axia dan Bezza di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 12:31 PM