Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


DRB-Hicom Bhd (DRB-HICOM) menafikan dakwaan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) memonopoli industri pemeriksaan kenderaan persendirian dan komersial di Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, adalah tidak wajar menyatakan Puspakom sebagai memonopoli pasaran memandangkan ia ditubuhkan oleh kerajaan bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan untuk kepentingan semua pihak berkaitan.

Katanya, dalam hal ini tidak timbul sebarang isu mengenai pusat pemeriksaan kenderaan ini kerana apa yang penting adalah untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada semua.

“Bagi kami, apa yang perlu diberi keutamaan adalah memfokuskan kepada apa yang akan berlaku kepada industri automotif negara dan oleh itu, tidak perlu timbul dakwaan mengatakan Puspakom sebagai monopoli.

“Malah, kami juga dalam peringkat perbincangan bersama pihak kerajaan mengenai beberapa perkara dalam membantu untuk memperkasakan industri ini dengan lebih baik lagi,” katanya dalam taklimat media pada acara DRB-HICOM Media Escapade 2019 di sini, semalam.

Puspakom ditubuhkan pada 1994 dan adalah antara perkhidmatan kerajaan yang menjalani proses penswastaan.

Ia kemudian diambil alih DRB-HICOM dan meneruskan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang sebelum ini dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Baru-baru ini, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Monopoli meneliti pembentangan empat syarikat utama termasuk Puspakom dalam usaha untuk memecahkan amalan monopoli atau kartel dalam pasaran.

Malah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata, usaha itu adalah inisiatif kerajaan untuk meliberalisasikan industri dan menggalakkan persaingan serta inovasi dalam perniagaan dan perkhidmatan.

Sementara itu, mengulas mengenai isu bagi pemandu kenderaan e-hailing yang perlu membuat pemeriksaan di Puspakom, beliau menyarankan semua pemandu tidak menunggu hingga saat akhir untuk membawa kenderaan mereka hadir menjalani pemeriksaan.

Menurutnya, pihaknya mengambil pelbagai inisiatif dan langkah bersepadu bagi memenuhi permintaan pemandu kenderaan e-hailing.

“Ia termasuk dengan lanjutan waktu operasi khas termasuk memanjangkan operasi selama tujuh hari seminggu di 19 cawangan Puspakom terpilih,” katanya.

Tambahnya, Puspakom juga melanjutkan operasi enam hari seminggu di 10 cawangan selain waktu operasi tambahan selama dua jam di 19 cawangan terpilih yang lain.

“Langkah ini dilihat mampu menampung jumlah kapasiti diperlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 8:50 AM