BRUHANUTHEEN (tengah) bersama penerima di majlis penyerahan cek.
Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my


KOPERASI Wawasan Pekerja-Pekerja Berhad (Kowaja) mengesan 5,000 bekas ahli bagi membolehkan anggaran jumlah pemulangan wang lebihan bayaran pinjaman RM500,000 dilakukan.

Setiausahanya, Mohd Faizal William Abdullah berkata, kebanyakan bekas ahli koperasi berkenaan gagal dikesan kerana tidak mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat rumah, nombor telefon, butiran waris dan e-mel terkini.

“Hal seperti ini menyebabkan koperasi menghadapi kesukaran namun dengan pelbagai usaha dan inisiatif dijalankan ahli jawatankuasa yang kami bina, saya yakin wang lebihan ini dapat diserahkan kelak kerana ia hak mereka.

“Mulai 2012 hingga tahun lalu, koperasi sudah menghantar surat ke alamat sedia ada dan setakat ini, sebanyak 8,000 ahli koperasi dikesan,” katanya pada majlis penyerahan cek bayaran balik wang keanggotaan Kowaja bernilai RM184,000 kepada 50 bekas ahlinya di sini.

Menurutnya lagi, setakat tahun lalu, koperasi sudah melaksanakan pemulangan semula wang lebihan bayaran pinjaman kira-kira RM6 juta.


Bruhanutheen

Sementara itu, Pengerusi Kowaja, Bruhanutheen Ahmed Mustafa berkata, kebanyakan bekas ahli koperasi berasa ragu apabila menerima panggilan telefon berhubung pemulangan bayaran pinjaman kerana mereka mengganggap ia scam.

“Mereka tidak percaya menerima sejumlah wang yang bakal diberikan kerana sudah lama melangsaikan hutang pinjaman serta tidak lagi menjadi ahli koperasi.

“Walhal, sebenarnya ia usaha yang dilakukan oleh koperasi untuk memberitahu mereka mengenai wang lebihan bayaran berkenaan,” katanya.

Seorang pesara, Jamsuri Sayuni, 62, mengakui terkejut sewaktu menerima panggilan daripada koperasi berhubung pemulangan lebihan bayaran pinjamannya RM13,500 minggu lalu.

“Namun, saya bersyukur dan menganggap ia rezeki kami sekeluarga untuk menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

“Terima kasih diucapkan kepada Kowaja kerana menjalankan amanah mereka dengan baik sekali,” katanya.

Sehubungan itu, anggota dan bekas ahli Kowaja boleh menghubungi 03-40482000, e-mel soalan ke pertanyaan@kowaja.com.my dan layari laman web www.kowaja.com.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 8:10 AM