Oleh Mahanum Abdul Aziz
bisnes@hmetro.com.my

KUALA Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berada dalam landasan untuk mencapai sasaran kutipan cukai RM147 bilion bagi 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pihaknya bekerja keras bagi mencapai sasaran berkenaan menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, pada 2018, LHDN mencatatkan prestasi di luar jangkaan dengan berjaya mengutip cukai langsung sebanyak RM137.035 bilion, meningkat 11.13 peratus atau RM13.723 bilion berbanding 2017.

Katanya, prestasi LHDN dalam beberapa tahun lalu mempunyai perkaitan positif dengan Keluaran Dalam Negara Kasara (KDNK) negara.

“Bagi 2019, kami ditugaskan untuk menyampaikan RM147 bilion kepada kerajaan bagi membolehkan jentera kerajaan beroperasi secara berkesan.

“Saya gembira untuk menyatakan bahawa kami berada dalam landasan mencapai sasaran yang ditetapkan itu,” katanya pada Persidangan Cukai Malaysia 2019 di sini, semalam.

Persidangan cukai itu dianjurkan secara bersama oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA).

Sabin berkata, LHDN juga sedang membangunkan platform teknologi maklumat (IT), dikenali sebagai Transformasi Hasil.

Beliau berkata, platform IT itu ialah sistem pangkalan data bersepadu yang akan mengubah proses kerja LHDN.

“Kami berharap dengan mempertingkatkan sistem cukai, kami boleh memperkukuhkan daya saing global Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelaburan dan perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 11:57 AM